SHAH ALAM, 21 DIS: Sebanyak RM20,000 diperuntukkan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf infrastruktur di Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu Satu.
Wakil rakyatnya, Pang Sock Tao berkata peruntukan itu melibatkan pembaikan serta pengecatan pemegang tangga (handrail) dan pemasangan papan zink di dewan sekolah, sebagai usaha memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa.
"Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada projek kecil sumbangan DUN Kuala Kubu Bharu, yang dikenal pasti hasil lawatan turun padang bagi meninjau keperluan sebenar di peringkat sekolah.
"Saya harap dengan usaha kecil ini kita boleh mewujudkan satu ruang pendidikan yang lebih selesa dan selamat untuk pelajar kita," ujar beliau menerusi rakaman video di Facebook.
Menurutnya, lawatan berkenaan juga bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta memenuhi aspek keselamatan, khususnya melibatkan kemudahan yang kerap digunakan oleh murid dan warga sekolah.


