SHAH ALAM, 21 DIS: Selangor akan meneruskan momentum Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) ke tahun hadapan sebagai sokongan kepada Pakej Lengkap Desa Kirana yang dlancarkan semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata, bagi tujuan itu pelbagai program akan dianjurkan termasuk program tahunan sedia ada.
"Sebagai persediaan sokongan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026, kita akan memperbanyakkan lagi program khususnya yang boleh diadakan di desa termasuk acara tahunan seperti Ban Canal," katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini Tourism Selangor memberi penekanan kepada pemerkasaan Program Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) sebagai teras pembangunan pelancongan desa dengan penglibatan komuniti setempat.
"Setakat ini di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor, seramai 49 komuniti tempatan telah dilatih bagi menyokong pembangunan pelancongan desa. Kita akan meluaskan lagi program ini ke daerah lain, khususnya kawasan desa, dengan kerjasama rapat pengusaha inap desa tempatan," katanya.
Menurut Yee Ling, pembangunan pelancongan desa dilaksanakan melalui dua fokus utama iaitu pembangunan kapasiti serta penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur.
"Kita menitikberatkan latihan pemandu pelancong dalam kalangan hos komuniti supaya mereka boleh berkongsi cerita berkaitan sejarah, kebudayaan dan kesenian di kawasan masing-masing.
"Pembangunan pelancongan desa perlu lengkap dari segi kemudahan awam dan juga sokongan komuniti setempat supaya pengalaman pelancongan yang ditawarkan benar-benar berkualiti," jelasnya.
Dalam masa sama, Tourism Selangor turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kemudahan awam di kampung dan desa dipertingkatkan.
Selain itu, katanya, persembahan kebudayaan oleh kumpulan tempatan serta pengenalan makanan tradisional merupakan elemen penting bagi memenuhi jangkaan pelancong yang ingin merasai pengalaman autentik setempat.
"Pelancongan gastronomi merupakan salah satu elemen yang menjadi perhatian dan tarikan kepada pelancong," katanya.
Menurutnya, Tourism Selangor juga bekerjasama dengan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bagi mengangkat makanan tradisional negeri ini.
"Dalam setiap program, kita akan memperkenalkan dan menyediakan makanan tradisional Selangor seperti nasi ambeng, punten serta sate Kajang supaya pelancong dapat merasai sendiri identiti dan keunikan pelancongan desa negeri ini," katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Pakej Lengkap Desa Kirana yang bertujuan memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai penduduk setempat selain mempromosikan budaya dan seni di kawasan desa.
Seramai 100,000 pelancong antarabangsa khususnya disasarkan mengunjungi 25 lokasi desa di seluruh negara termasuk Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan menjelang akhir tahun depan.



