SHAH ALAM, 21 DIS: Golongan berusia 21 hingga 30 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling ramai menjadi mangsa jenayah telekomunikasi bagi tempoh Januari hingga November 2025.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dalam kenyataan berkata statistik menunjukkan seramai 8,789 mangsa direkodkan dalam lingkungan umur tersebut, mengatasi kumpulan umur 31 hingga 40 tahun (6,825 mangsa) dan 41 hingga 50 tahun (4,977 mangsa).
"Analisis mengikut pecahan umur menunjukkan golongan berumur 21 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, diikuti oleh kumpulan umur 31 hingga 40 tahun dan 41 hingga 50 tahun," kata kenyataan yang dikongsi di Facebook itu.
Menurut kenyataan itu lagi, secara keseluruhan, sebanyak 28,698 kes jenayah telekomunikasi dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan dengan jumlah kerugian mencecah RM715 juta.
Kenyataan itu memaklumkan, kumpulan umur 15 hingga 20 tahun pula mencatatkan 1,962 mangsa.
"Situasi ini membuktikan bahawa jenayah telekomunikasi memberi kesan kepada semua lapisan umur, justeru orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan," katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mudah mempercayai sebarang tawaran mencurigakan dan membuat semakan segera melalui saluran rasmi seperti NSRC 997 atau portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.


