Titah Adendum: Mahkamah Tinggi tentukan status tahanan rumah Najib esok

21 Dis 2025, 3:23 AM
Titah Adendum: Mahkamah Tinggi tentukan status tahanan rumah Najib esok

SHAH ALAM, 21 DIS: Penentuan sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menamatkan baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah bakal diputuskan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur esok.

Keputusan itu akan dibacakan oleh Hakim Alice Loke Yee Ching, setelah mahkamah selesai mendengar hujahan menyeluruh daripada semua pihak dalam prosiding semakan kehakiman yang difailkan Najib, lapor Kosmo!

Sekiranya permohonan berkenaan dibenarkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan menjalani baki hukuman penjara di kediamannya di Kuala Lumpur. Namun, jika ditolak, Najib akan terus menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Permohonan tersebut berkait rapat dengan hukuman penjara enam tahun serta denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib selepas beliau disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn. Bhd.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, sebelum ini menegaskan sekiranya semakan kehakiman itu berjaya, pelaksanaan tahanan rumah perlu dilakukan serta-merta berdasarkan kandungan Titah Adendum berkenaan.

Untuk rekod, keputusan kes ini pada asalnya dijadualkan pada 5 Januari depan, namun diawalkan selepas firma guaman Shafee & Co memohon pertimbangan semula tarikh, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Dalam semakan kehakiman tersebut, Najib menamakan beberapa pihak sebagai responden termasuk Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang JPM serta Kerajaan Malaysia.

Antara relif utama yang dimohon ialah supaya mahkamah mengarahkan mana-mana responden mengemukakan salinan titah asal Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan pengurangan hukuman terhadap Najib, selain perintah pelaksanaan segera sekiranya titah itu disahkan wujud.

Pada Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan prosiding semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum ini dipercepatkan di Mahkamah Tinggi, menandakan kepentingan awam dan implikasi perlembagaan yang besar terhadap kes tersebut.

Esok, keputusan mahkamah bukan sahaja menentukan lokasi baki hukuman Najib, malah dijangka menjadi penanda aras penting terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan mekanisme tahanan rumah di Malaysia.