SHAH ALAM, 21 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ibu kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Allahyarhamha Halimah Yaacob.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menerima khabar duka itu dengan rasa amat dukacita.
“Kami menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarhamha dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima seluruh amal kebajikan dan ditempatkan dalam kalangan para solihin serta orang-orang beriman,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Dr Zaliha dan seluruh ahli keluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan jiwa serta ketenangan hati dalam menghadapi ujian berat tersebut.
Allahyarhamha Halimah, 77, menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.23 malam di kediaman Dr Zaliha di Putrajaya. Jenazah akan diuruskan di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kulai, Johor bagi urusan pengebumian.


