Sasar 100,000 pelancong menerusi inisiatif Pakej Lengkap Desa Kirana

20 Dis 2025, 9:22 AM
Sasar 100,000 pelancong menerusi inisiatif Pakej Lengkap Desa Kirana

SHAH ALAM, 20 DIS: Seramai 100,000 pelancong antarabangsa khususnya disasarkan mengunjungi 25 lokasi desa menerusi Pakej Lengkap Desa Kirana menjelang akhir tahun depan.

Inisiatif berkenaan bertujuan memastikan manfaat ekonomi dirasai penduduk setempat selain mempromosikan budaya dan seni di kawasan desa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mahu pelancong berpendapatan tinggi sekadar menikmati destinasi bandar dan pinggir bandar sehingga meminggirkan kawasan desa dan luar bandar.

Menurut beliau, minat pelancong khususnya dari Jepun dan Korea terhadap pengalaman kehidupan desa semakin meningkat.

"Pakej ini membolehkan pelancong mengalami budaya, seni, tradisi, kulinari dan suasana perkampungan.

"Kita tidak mahu masyarakat desa hanya menjadi penonton tanpa mendapat manfaat ekonomi daripada kehadiran pelancong, " katanya ketika berucap mengumumkan Pakej Lengkap Desa Kirana di Dataran Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan sasaran tersebut merupakan permulaan untuk memacu pembangunan industri pelancongan desa pada tahun-tahun akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pengusaha inap desa bagi menjayakan produk pelancongan berkaitan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengusaha inap desa dan ketua kampung, sama ada secara individu, koperasi atau melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) agar terus menjaga lokasi yang dipromosikan supaya tidak terbiar selepas kempen Tahun Melawat Malaysia berakhir.

"Ini supaya promosi itu tidak berjalan dalam jangka pendek sahaja dan tempat itu dibiarkan begitu selepas Tahun Melawat Malaysia.

"Ini kerana saya merasa sedih apabila datang semula ke beberapa inap desa di Selangor, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan lain semasa Pemukiman Jemaah Menteri mendapati ia tidak dijaga kerana semua pengusaha ketika itu berada di umur maghrib (yang telah tua)," katanya.