SELAYANG, 20 DIS: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan orang kurang upaya (OKU) teramai dalam program mewarna batik.
Penyertaan melibatkan 515 peserta itu menerusi program Ekspresi Seni Melalui Batik bersama Komuniti OKU yang berlangsung pada 15 Disember lalu di AEON Mall Shah Alam dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM dan AEON Co. (M) Bhd.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) Ar. Kamarul Hisham Yeop Hashim lukisan batik yang dihasilkan, akan dijual menerusi jualan amal untuk Dana Cakna OKU UiTM–YANIS dan disasar mengumpul dana sekitar RM150,000.
“Kami bekerjasama dengan U-DServeD UiTM, mereka akan buka (jualan) secara fizikal (dan pelbagai platform) di antara rakan-rakan strategik yang lain dan daripada penjualan itu, kita akan bahagikan (masing-masing) 50 peratus antara YANIS dan UiTM,” katanya.
Beliau ditemui selepas pelancaran Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Selayang hari ini yang disempurnakan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.
Sementara itu, Anfaal berkata program mewarna batik melibatkan penyertaan teramai OKU di Malaysia itu memberi ruang kepada golongan berkenaan untuk berekspresi.
“Ia juga untuk mendedahkan kepada mahasiswa bahawa mereka yang berada dalam fakulti seni mengambil kira ada keperluan khas dalam kalangan OKU.
“Jadi saya menyarankan bukan sahaja daripada institusi pengajian tinggi tetapi syarikat-syarikat GLC, agensi perlu cakna tentang keperluan terutama sama ada mereka mempunyai pekerja atau kakitangan mereka mempunya anak dalam kalangan OKU,” katanya.





