Dekorasi perayaan bukan Islam dibenarkan di hotel, premis makanan halal

20 Dis 2025, 5:12 AM
Dekorasi perayaan bukan Islam dibenarkan di hotel, premis makanan halal

SHAH ALAM, 20 DIS: Hotel dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dibenarkan memasang dekorasi sempena perayaan bukan Islam di bahagian dapur atau outlet mereka, selagi mematuhi syarat ketat ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata keputusan itu sejajar ketetapan Jakim pada 2023 yang menyatakan tiada larangan terhadap pemegang sijil halal menggunakan imej atau ilustrasi berkaitan perayaan agama lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kebenaran tersebut tertakluk kepada syarat ketat demi menjaga prinsip halal thoyyiban.

“Dekorasi perayaan selain Islam dibenarkan selagi tidak menjejaskan prinsip halalan toyyiban, tidak melibatkan hiasan pada produk makanan yang bersifat tidak kekal, tidak menggunakan peralatan sembahan, serta tidak menampilkan imej atau logo halal pada dekorasi.

"Keputusan itu terpakai kepada isu dekorasi hiasan perayaan selain Islam di bahagian dapur dan outlet yang mempunyai SPHM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan pengusaha hotel dan premis makanan agar sentiasa mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa pensijilan halal berkaitan sekiranya timbul kekeliruan berhubung garis panduan berkenaan.

“Sifat hormat menghormati kepelbagaian budaya dan agama adalah sebahagian identiti masyarakat majmuk negara ini. Namun, pematuhan piawaian halal sedia ada perlu terus dipatuhi tanpa mengetepikan keharmonian kaum,” katanya.

Menurutnya, kerjasama erat antara industri dan pihak berkuasa agama negeri amat penting bagi memastikan pelaksanaan garis panduan halal berjalan secara berhemah serta mengambil kira sensitiviti agama dan keharmonian masyarakat.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kesucian pensijilan halal Malaysia, sambil memastikan keharmonian antara agama dan budaya terus diperkukuh,” katanya.

Apa reaksi anda?