Remaja, belia mudah terperangkap penipuan pekerjaan luar negara

19 Dis 2025, 8:30 AM
Remaja, belia mudah terperangkap penipuan pekerjaan luar negara

SHAH ALAM, 19 DIS: Golongan remaja dan belia berusia antara 18 hingga 19 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling mudah terjerat sindiket penipuan pekerjaan di luar negara, susulan kecenderungan mereka mempercayai rakan sendiri berbanding amaran pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata kebanyakan mangsa hanya menyedari mereka diperdaya selepas tiba di luar negara sebelum dipaksa bekerja di pusat penipuan, lapor Kosmo!.

“Golongan muda ini lebih mudah percaya kepada cakap rakan. Apabila sampai di sana, barulah mereka sedar telah ditipu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian lapangan serta temu bual terhadap mangsa yang dikendalikan MHO, dianggarkan hampir 80 peratus mangsa dibawa ke luar negara melalui rakan atau kenalan, bukan secara langsung melalui media sosial.

Menurut Hishamuddin, modus operandi sindiket penipuan pekerjaan sentiasa berubah dan disesuaikan dengan situasi semasa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, walaupun masih terdapat sindiket yang menggunakan platform media sosial seperti Facebook, kaedah itu kini semakin berkurangan.

“Ketika ini, teknik paling dominan adalah menggunakan ‘agen’ dalam kalangan rakan sebaya mangsa sendiri.

“Agen ini sering mempamerkan gaya hidup mewah dan menawarkan peluang pekerjaan yang kelihatan meyakinkan, sekali gus menyebabkan mangsa lebih mempercayai rakan mereka berbanding nasihat atau amaran pihak berkuasa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kejayaan Kementerian Luar membawa pulang 20 mangsa sindiket penipuan dari Myawady, Myanmar, membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam usaha menyelamatkan rakyat Malaysia yang terjebak dengan sindiket pekerjaan luar negara.