Kes penipuan kerja sambilan naik 146 peratus, rekod kerugian RM202.58 juta

19 Dis 2025, 8:01 AM
Kes penipuan kerja sambilan naik 146 peratus, rekod kerugian RM202.58 juta

SHAH ALAM, 19 DIS: Kes penipuan melibatkan tawaran kerja sambilan meningkat mendadak sebanyak 146 peratus di seluruh negara sepanjang tahun ini, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah JSJK, Dato’ Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 8,484 kes direkodkan bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 14 Disember lalu, berbanding 3,451 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan 5,033 kes.

Beliau berkata, peningkatan itu menunjukkan jenayah penipuan berkaitan tawaran kerja sambilan semakin berleluasa dan membimbangkan.

“Dari segi kerugian kewangan, jumlah kerugian yang direkodkan pada 2025 mencecah RM202.58 juta, berbanding RM118.83 juta pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak RM83.75 juta atau kira-kira 70 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, statistik tersebut membuktikan penipuan berkenaan bukan sahaja semakin kerap berlaku, malah memberi kesan kewangan yang besar kepada mangsa.

Hasil siasatan mendapati, sindiket penipuan lazimnya menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan segera untuk menawarkan pekerjaan sambilan dengan janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Mangsa biasanya diminta membuat bayaran pendahuluan atau memindahkan wang ke akaun tertentu, termasuk akaun keldai, sebelum menyedari mereka telah ditipu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tiada majikan yang sah akan meminta sebarang bayaran atau pindahan wang sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan dengan pihak tidak dikenali serta segera membuat laporan polis jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

“Mereka yang mengesyaki diri terlibat atau menjadi mangsa penipuan, khususnya berkaitan tawaran kerja sambilan, disarankan segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk tindakan awal, selain membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau menegaskan, tindakan pantas amat penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan dan membekukan aliran kewangan yang terlibat serta menjalankan siasatan lanjut.

JSJK akan terus mempergiat usaha pencegahan, siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah penipuan demi melindungi orang awam.