Bangkit dari luka kehilangan ayah ketika pandemik

20 Dis 2025, 12:30 AM
Bangkit dari luka kehilangan ayah ketika pandemik
Bangkit dari luka kehilangan ayah ketika pandemik
Bangkit dari luka kehilangan ayah ketika pandemik

Bau ubat dan bunyi mesin oksigen di wad Covid-19 menghantui ingatan Norziana Mohamad Azmi. Ketika tubuhnya semakin lemah dengan bacaan hanya 66 peratus, matanya terpaku pada susuk yang selama ini menjadi sumber kekuatan — bapanya sendiri.

Di katil bertentangan, lelaki yang pernah membantu memilih dan memotong kubis untuk dibuat kimchi terbaring kaku sebelum petugas menzip beg mayat untuk dibawa pergi.

“Saya nampak ayah sampai nafas terakhir. Saya hanya mampu minta minta jururawat tolong bisik syahadah pada ayah. Saya nampak ayah pergi.

“Saya tengok macam mana jururawat masukkan ayah dalam beg mayat. Tidak dimandikan, hanya tayamun. Datang keranda, terus dimasukkan,” suaranya bergetar mengimbau momen merobek jiwa itu.

Peristiwa pilu saat pandemik itu ia bukan sekadar meragut nyawa bapanya malah merosakkan perniagaan kimchi sehingga menanggung kerugian lebih RM150,000.

Namun daripada ruang paling gelap dalam hidupnya, Norziana bangkit membawa amanat arwah bapa berusia 74 tahun ketika itu.

Dia membina semula jenama kimchi halal itu sehingga kini menjadi antara produk Korea halal paling dikenali di Selangor dan Malaysia.

Pengasas Got Kimchi Enterprise Norziana Mohamad Azmi memantau kakitangan menyusun produk korea halal milik beliau ketika ditemui Media Selangor di Got Kimchi Jenjarom pada 27 November 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Hobi buat makanan Korea

Mengimbau zaman sekolah, wanita berusia 38 tahun itu tidak menyangka hobi membuat makanan tradisi Korea itu berkembang menjadi perniagaan yang merekodkan jualan RM150,000 hingga RM200,000 sebulan.

Semuanya bermula sekitar 2003, ketika dia jatuh cinta pada drama Korea ‘Jewel in The Palace’.

Minat itu membawanya mencuba resipi sendiri. Selepas menamatkan pengajian dan bekerja di makmal mikrobiologi, dia terus membuat kimchi sebagai hobi.

Segalanya berubah apabila dia memuat naik gambar kimchi ke Facebook.

“Kawan-kawan mendesak-desak nak tempah. Dalam tiga bulan, saya buat kimchi secara sambilan sahaja. Lepas itu pendapatan saya dah macam sama dengan gaji. Kita memang mula dari bawah, dari dapur rumah.”

Bermodalkan RM200 pada 2017, dia nekad berhenti kerja untuk fokus sepenuhnya pada perniagaan yang diberi nama Got Kimchi Enterprise di Jenjarom, Kuala Langat.

Siapa sangka, dalam tempoh seminggu tempahan meningkat dari 10 kilogram ke 30 kilogram dan bapanya orang pertama menyokong dan membantu setiap hari.

“Tempahan itu tidak berhenti… rupanya dah merebak dari mulut ke mulut,” katanya yang kemudian terbang ke Korea untuk belajar teknik sebenar masakan negara Hanguk itu.

Pada 2019, dia membuka premis kecil dan memasuki platform Shopee yang melonjakkan permintaan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020.

Pengasas Got Kimchi Enterprise Norziana Mohamad Azmi menunjukkan sebahagian produk korea halal milik beliau ketika ditemui Media Selangor di Got Kimchi Jenjarom pada 27 November 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Keluarga dijangkiti Covid-19

Namun ujian datang tatkala seluruh keluarga dijangkiti Covid-19 tahap lima.

“Kita berhenti berniaga dua bulan sebab semua ahli keluarga kena Covid-19. Oksigen saya tinggal 66 peratus sahaja masa itu. Namun paling memedihkan, ayah turut dijangkiti.

“Sebelum kritikal dia cakap dia bangga, dia suruh saya buat kilang,” katanya mengakui kata-kata itulah yang memberi kekuatan untuk dia kembali berdiri.

Selepas pulih, Norziana melaburkan hampir RM120,000 untuk membesarkan premis menjadi kilang kecil. Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu proses sijil halal bernilai RM15,000 hingga RM18,000, manakala Jabatan Pertanian memberi geran mesin bernilai RM50,000.

Kini ‘Got Kimchi’ bukan sekadar jenama makanan Korea halal, ia menjadi pencipta peluang baharu dalam rantaian agro Selangor.

Perniagaannya menggunakan kira-kira 1,500 kilogram kubis dan 200 kilogram cili sebulan, selain hasil tani lain seperti daun bawang, halia serta lobak yang semuanya dari peladang tempatan.

Dengan sijil halal, produk Got Kimchi yang boleh didapati di pasar raya besar, kini bersedia ke pasaran eksport. Dari hanya kimchi, kini terdapat 12 produk termasuk tteokbokki, danmuji, jjang ramen, dan japchae.

Kejayaannya turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah dan insentif antaranya Ikon Pertanian Kuala Langat, Pembangunan Produk Hiliran Pertanian Menaiktaraf Premis dan Anugerah Pemenang Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) 2.0 2024.

Bagi Norziana, kejayaan itu bukan tentang angka semata-mata. Ia tentang keluarga, harapan, dan amanat seorang bapa.