PBT digesa guna bajet sendiri bina laluan pejalan kaki

19 Dis 2025, 12:58 AM
PBT digesa guna bajet sendiri bina laluan pejalan kaki
PBT digesa guna bajet sendiri bina laluan pejalan kaki

SHAH ALAM, 19 DIS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya tidak terlalu bergantung kepada peruntukan Kerajaan Negeri atau Persekutuan bagi melaksanakan projek berskala kecil yang mampu meningkatkan ketersambungan perjalanan ‘last-mile’ atau perbatuan terakhir.

EXCO Mobiliti, Ng Sze Han berkata pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung serta laluan pejalan kaki biasa hanya melibatkan kos antara RM50,000 hingga RM100,000 yang boleh ditampung melalui peruntukan dalaman PBT.

“Jumlah ini boleh diperoleh daripada bajet PBT sendiri. PBT tidak seharusnya sentiasa menunggu peruntukan besar untuk melaksanakan projek seperti ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Bandar Petaling Jaya (PIP) 2.0, semalam.

Menurut Sze Han, PBT juga digesa supaya merancang dan menangani isu ‘missing links’ atau jurang ketersambungan yang boleh memudahkan pergerakan pengguna pengangkutan awam, khususnya di kawasan sekitar stesen dan hab transit.

PIP 2.0 merangkumi strategi pembangunan dan inisiatif melibatkan pengurusan trafik, pengangkutan awam, laluan pejalan kaki serta aspek ketersambungan bandar.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri tidak lagi mahu produktiviti rakyat Selangor terus terjejas akibat kesesakan jalan raya.

“Laporan terbaharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diterbitkan pada Julai 2025 menunjukkan pemandu di Lembah Klang menghabiskan sekitar 580 jam setahun terperangkap dalam kesesakan trafik, selain menanggung kos kira-kira RM9,000 setahun bagi penyelenggaraan kenderaan dan bahan api,” katanya.

Beliau turut memaklumkan semua PBT telah diarahkan untuk mengemukakan cadangan laluan pejalan kaki dan mikromobiliti baharu yang menghubungkan hab pengangkutan awam utama kepada Jawatankuasa Tetap Mobiliti Negeri.

Selain itu, katanya, setiap PBT juga perlu menyerahkan inventori terkini laluan sedia ada kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN).

Langkah berkenaan, jelasnya, adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri bagi memperkukuh rangkaian pejalan kaki yang selamat, bersambung dan kondusif di seluruh Selangor.

Sze Han turut berharap laluan pejalan kaki sedia ada di bawah seliaan PBT dapat diseragamkan dan ditambah baik agar lebih mesra pengguna, termasuk dengan mengalihkan halangan seperti pokok dan papan tanda.

Mengulas mengenai pelancaran PIP 2.0 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), beliau berharap pelan tersebut dapat dijadikan rujukan oleh PBT lain di Selangor.

“Pelan ini juga akan menjadi rujukan utama dalam pembangunan Pelan Induk Mobiliti Selangor yang bakal dilaksanakan dengan pendekatan holistik dan mampan,” katanya.

Melalui inisiatif itu, Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan perkongsian mod pengangkutan awam, iaitu peratusan perjalanan menggunakan bas dan tren berbanding kenderaan persendirian, sekali gus menangani masalah kesesakan trafik.