MPSepang tunda lapan kenderaan parkir haram di Cyberjaya

18 Dis 2025, 9:32 AM
MPSepang tunda lapan kenderaan parkir haram di Cyberjaya

SHAH ALAM, 18 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menunda lapan kenderaan yang diletakkan secara haram di sekitar Persiaran Bistari dan Jalan Fauna 1, Cyberjaya, dalam satu operasi penguatkuasaan kelmarin.

Menurut kenyataan MPSepang di Facebook, operasi yang dilaksanakan Unit Tunda Zon Cyberjaya bertujuan menangani masalah parkir haram dan menganggu aliran trafik di kawasan awam.

“Tindakan penundaan ini diambil ke atas kenderaan yang melanggar Peruntukan 8(1), Undang-Undang Kecil Taman (MPSepang) 2005, iaitu kesalahan meletakkan kenderaan di mana-mana tempat dalam taman,” jelas pihak berkuasa tempatan itu.

MPSepang turut menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan parkir.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan parkir, bagi memastikan kelancaran trafik serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur dan selamat.