SHAH ALAM, 19 DIS - Kompleks Islam Wira Damai bernilai RM33 juta berperanan sebagai pusat pembangunan ummah khususnya untuk masyarakat setempat dan menjadi mercu tanda baharu di Gombak.
Berkonsep seni bina Melayu Nusantara, pusat kegiatan Islam itu menerapkan elemen hiasan estetik tradisional dan ukiran bermotif flora berteras budaya dan warisan tempatan.
Ketua pegawai eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memberitahu projek di tanah seluas 10.73 ekar itu dilengkapi bilik kuliah, ruang makan, lokasi riadah dan blok kuarters.
Menurut Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, masjid dibina dalam keluasan 41,000 kaki persegi yang boleh menampung 2,750 jemaah selain dilengkapi dua bilik kuliah dan bilik jenazah berkeluasan 6,420 kaki persegi.

“Projek ini dilengkapi dapur yang mampu memuatkan 200 individu sementara blok kuarters empat unit berkeluasan 1,000 kaki persegi untuk kegunaan imam dan bilal," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata projek yang dijadual siap suku pertama 2027 turut menaik taraf kolam tadahan air bagi menggalakkan pengunjung beriadah sambil menikmati panorama batu kapur di Batu Caves.
Raja Ahmad Shahrir Iskandar juga menjelaskan kompleks yang dibina itu adalah pusat keagamaan kedua dibangunkan PNSB selepas Masjid Ma'muniah di Sabak Bernam.
Beliau percaya pembinaan kompleks tersebut memberi manfaat kepada penduduk Kampung Melayu Wira Damai, Kampung Sungai Kertas, Taman Gombak Permai dan masyarakat di sekitarnya.

“Sejurus kompleks itu siap, kita akan serahkan kepada pengurusan masjid dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk laksana program keagamaan.
“PNSB berharap kompleks ini dapat beri keselesaan kepada penduduk dan pembangunan yang sesuai untuk beribadat, beriadah dan menimba ilmu,” katanya.
Pada September tahun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyempurnakan majlis pecah tanah kompleks berkenaan yang bakal memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.
Amirudin berkata kompleks itu turut menyediakan kemudahan solat lebih selesa kepada penduduk menggantikan Masjid An-Nur Kampung Wira Damai yang usang dan padat dengan limpahan jemaah.




