Geopark Gombak–Hulu Langat sasar status Tapak Warisan Dunia dalam tempoh tiga tahun

18 Dis 2025, 12:30 AM
Geopark Gombak–Hulu Langat sasar status Tapak Warisan Dunia dalam tempoh tiga tahun
Geopark Gombak–Hulu Langat sasar status Tapak Warisan Dunia dalam tempoh tiga tahun
Geopark Gombak–Hulu Langat sasar status Tapak Warisan Dunia dalam tempoh tiga tahun
Geopark Gombak–Hulu Langat sasar status Tapak Warisan Dunia dalam tempoh tiga tahun

SHAH ALAM, 18 DIS: Tourism Selangor menetapkan sasaran menjadikan Geopark Gombak-Hulu Langat sebagai geopark global UNESCO menjelang 2029 melalui perancangan teliti selama tiga tahun dengan sokongan Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, usaha itu mendapat suntikan semangat apabila Belanjawan Selangor 2026 memperuntuk RM2 juta bagi mempercepat permohonan pengiktirafan antarabangsa tersebut.

“Kami telah menubuhkan pasukan khas dan pasukan petugas bagi menguruskan keseluruhan proses permohonan geopark ini. Sokongan daripada kerajaan persekutuan juga amat memberangsangkan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Media Selangor.

Menurut beliau, pembangunan kawasan geopark itu perlu mengikut prinsip pembangunan mampan meskipun proses permohonan masih berlangsung.

Geopark Gombak-Hulu Langat merangkumi kawasan di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), membolehkan pemantapan integrasi promosi produk pelancongan secara sistematik.

“Kami dalam perbincangan awal menetapkan tempoh tiga tahun untuk mencapai sasaran ini. Tourism Selangor akan mengenal pasti tiga calon utama untuk diberi tumpuan, dan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melantik wakil untuk membantu pelaksanaan,” jelas Chua.

Geopark berkeluasan 112,955 hektar itu memiliki 31 tapak geologi dengan 20 daripadanya dikenalpasti bernilai tinggi dari segi eko-pelancongan dan geologi, berikutan struktur semula jadi yang unik.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaraskan usaha ke arah pencalonan tersebut.

“Kelulusan rasmi peruntukan RM2 juta ini membolehkan kerja persediaan dan pelaksanaan dijalankan secara menyeluruh antara 2026 hingga 2028,” katanya.

Permohonan ke UNESCO Global Geopark menurutnya memerlukan penglibatan pelbagai aspek seperti penyelidikan akademik, pengiktirafan profesional, penganjuran pameran serta penyertaan dalam persidangan antarabangsa.

Suee Lim berkata, sekiranya berjaya, geopark tersebut bakal menjadi pemangkin baharu kepada pelancongan Selangor khususnya dalam menarik pakar geologi dan pencinta alam sekitar dari dalam dan luar negara.

“Keunikan utama Geopark Gombak-Hulu Langat ialah lokasinya yang berada di kawasan bandar dalam negeri Selangor - suatu ciri yang jarang ditemui dalam geopark antarabangsa,” tambah beliau.

Malaysia kini mempunyai enam Tapak Warisan Dunia UNESCO, termasuk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia-Taman Hutan Selangor (FRIM-FPS) yang diiktiraf pada tahun ini hasil kejayaan memulihkan kawasan bekas lombong bijih timah menjadi hutan tropika semula.

Gombak Hulu Langat (GHL) Geopark bakal jadi tarikan pelancong pada Tahun Melawat Selangor 2025. Foto Facebook Selangor Royal Office