KUALA SELANGOR, 27 DIS: Di tengah hamparan sawah padi Tanjong Karang, lebih 70km dari Shah Alam, terselit sebuah ruang kecil tetapi sarat makna untuk warga emas, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjong Karang, yang kini menjadi ‘rumah kedua’ buat ratusan ahli.
Sejak penubuhannya pada 1 November 2021, PAWE Tanjong Karang telah menarik lebih 600 warga emas mendaftar sebagai ahli, dengan lebih 200 aktiviti kerohanian, sosial dan ekonomi dijalankan untuk memastikan warga emas sentiasa aktif, ceria dan hidup bermakna.
Menurut Penyelia PAWE Tanjong Karang Zubairi Hussin, pusat ini bukan sekadar tempat warga emas beraktiviti, tetapi ruang untuk membina semula semangat, menyalakan harapan dan menghidupkan rasa kebersamaan dalam kalangan mereka.

“Ruang kami kecil, hanya muat sekitar 30 orang setiap sesi, tapi semangat ahli luar biasa. Mereka datang bukan sekadar untuk beraktiviti, tetapi untuk mengubat sunyi dan membina komuniti baharu,” kata Zubairi kepada Media Selangor.
Zubairi menambah, setiap minggu PAWE menawarkan empat kategori kegiatan iaitu kerohanian, sosial, kesihatan dan ekonomi sekali gus menjadikan pusat itu sentiasa hidup dengan gelak tawa, ilmu baharu dan kehangatan persahabatan.
Pengubat Sunyi
Bagi Pembantu Penyelia PAWE Tanjong Karang Suyeati Dahlan, 65, pesara Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Selangor, kehidupannya berubah selepas menyertai PAWE pada Januari 2022, setahun selepas pemergian suami tercinta.

“Semenjak arwah suami tiada, saya banyak masa bersendirian kerana anak-anak bekerja jauh. Bila menyertai PAWE, saya kembali bergaul, berfikir positif dan tidak lagi rasa terasing,” katanya.
Kini, Suyeati bukan sahaja aktif dalam pelbagai program, malah diberi tanggungjawab sebagai pembantu penyelia, membantu mengurus kebajikan ahli dan memastikan aktiviti berjalan lancar.
Kegiatan seperti kelas kemahiran, kebun komuniti dan sesi sosial bukan sahaja mencergaskan tubuh, tetapi juga menyuburkan jiwa. Pesara ini mengakui dirinya kini lebih ceria, yakin, dan disokong komuniti yang saling menghargai.
Bahagia di Usia Senja
PAWE juga membina jaringan sokongan kukuh kepada warga emas melalui kerjasama bersama agensi kerajaan, institusi pendidikan dan badan komuniti.
Menurut Penolong Setiausaha PAWE Tanjong Karang Norlia Banori, 62, aktiviti di PAWE kini lebih tersusun dan sistematik, termasuk program kerjasama dengan agensi kerajaan.

“Kumpulan selawat kami turut dijemput ke majlis aqiqah dan perkahwinan di sekitar Tanjong Karang, sekali gus mengeratkan hubungan dengan masyarakat,” kata Norlia yang aktif sejak awal penubuhan PAWE.
Sementara itu, Siti Aminah Abdullah, 68, memulakan penglibatannya setelah diajak rakan menghadiri sesi mengaji dan tanpa disangka, sesi ringkas itu menjadi pintu kepada pelbagai aktiviti lain.

“Dari mengaji, saya mula sertai senaman, kegiatan sosial dan kerohanian.
”Ia menenangkan fikiran serta mencergaskan badan. Saya juga aktif dalam program ziarah ahli PAWE yang uzur, memberi semangat kepada mereka yang sedang diuji,” katanya.
Potensi pelancongan
Zubairi melihat potensi besar PAWE dalam sektor pelancongan tempatan. PAWE bukan sahaja ruang selesa untuk warga emas beraktiviti, tetapi juga destinasi yang mempamerkan model komuniti aktif.
“Tanjong Karang terkenal dengan sawah padi. Jika PAWE dipromosikan sebagai lokasi pelancongan mesra warga emas, lebih ramai pelawat boleh datang sambil menyaksikan budaya dan aktiviti masyarakat setempat,” jelasnya.
Lebih membanggakan, penglibatan aktif warga emas dalam PAWE turut merekodkan penurunan kes berkaitan kesihatan di klinik, membuktikan kesan positif daripada aktiviti fizikal dan sosial yang dijalankan.
PAWE Tanjong Karang bukan sekadar pusat aktiviti, ia adalah rumah yang menghimpunkan komuniti dan inspirasi, memberi peluang kepada warga emas menjalani usia senja dengan bahagia, sihat dan bermakna.





