DPMM gesa SSM perjelas, kaji semula kompaun bebankan PKS

16 Dis 2025, 2:34 PM
DPMM gesa SSM perjelas, kaji semula kompaun bebankan PKS

SHAH ALAM, 16 DIS: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberi penjelasan terperinci berhubung kompaun sehingga RM40,000 yang dianggap membebankan dan mengelirukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Kompaun tersebut dikenakan terhadap pemilik syarikat yang melanggar Seksyen 245, 248, 258 dan 340 di bawah Akta Syarikat 2016, yang antaranya melibatkan kewajipan mengemukakan laporan kewangan, rekod audit dan penyata statutori dalam tempoh ditetapkan.

Presidennya Norsyahrin Hamidon berkata tindakan berkenaan menimbulkan keresahan dalam kalangan PKS yang kini berdepan tekanan kos dan persekitaran perniagaan tidak menentu.

“Memang wajar kompaun dikenakan terhadap peniaga atau usahawan yang lewat menghantar laporan audit atau dokumen berkaitan, namun dalam situasi ekonomi semasa, SSM perlu budi bicara khususnya dari segi jumlah kompaun yang dikenakan.

“Banyak rungutan dan aduan diterima berhubung langkah ini yang dilihat seolah-olah tidak selari dengan usaha SSM mengurangkan kos pematuhan audit kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya kepada Media Selangor.

Norsyahrin berkata audit penting bagi memastikan tadbir urus syarikat berjalan lancar, tetapi kompaun sehingga RM40,000 berpotensi memberi tekanan besar kepada aliran tunai usahawan kecil.

“Kami memahami kesalahan itu berpunca daripada kelewatan pihak usahawan menghantar audit atau dokumen berkaitan, namun makluman yang disampaikan oleh SSM dilihat tidak konsisten.

“Jika kompaun ini dikenakan kepada PKS, sudah tentu aliran tunai syarikat akan semakin tertekan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar SSM mengkaji semula kadar kompaun atau menjelaskan had pendapatan syarikat yang layak dikecualikan audit.

Beliau turut mengingatkan SSM sebelum ini memperkenalkan kelonggaran audit kepada PKS yang memenuhi kriteria tertentu.

Terdahulu, Norsyahrin dalam satu kenyataan memaklumkan berdasarkan rekod sehingga penghujung 2024, SSM memberikan pengecualian audit kepada PKS dengan hasil tahunan bawah RM3 juta atau kurang 30 pekerja.

Malah, mulai 2025, PKS dengan hasil kurang RM1 juta pula dikecualikan sepenuhnya daripada kewajipan audit.

Kelonggaran ini, katanya bertujuan mengurangkan kos pematuhan di samping mengekalkan amalan tadbir urus korporat yang cekap dan telus.