KLANG, 16 DIS: Setiap warga kerja diingatkan supaya melaksanakan pelan tindakan dalam Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dengan komitmen penuh dan kesungguhan bagi memperkukuh tadbir urus serta membendung risiko salah guna kuasa.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata OACP merupakan mekanisme penting yang berfungsi menangani kelemahan governans, integriti dan rasuah dalam organisasi secara efektif.
“Janganlah kita wujudkan OACP ini hanya kerana ia arahan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, atau sekadar untuk mempertahankan syarikat daripada implikasi Seksyen 17A Akta SPRM 2009 sahaja.
“Kita sedia maklum bahawa isu rasuah dan integriti adalah kritikal. Jika tidak ditangani secara sistematik dan menyeluruh, ia boleh menyebabkan peningkatan kos, ketirisan wang dan pengurangan kualiti perkhidmatan, dan akhirnya merugikan syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Integriti Kumpulan MBI Selangor dan Majlis Pelancaran OACP di sini hari ini.
Menurut Ahmad Fadzli, komitmen berterusan memerangi rasuah akan menjadi penentu kepada keyakinan pihak luar terhadap MBI Selangor dan seluruh kumpulan pada masa hadapan.
“Kita adalah penjaga reputasi kumpulan ini dan tahniah atas kesungguhan anda semua dalam mengukuhkan integriti serta mendukung pendirian teguh Kerajaan Negeri,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop memaklumkan sebanyak 13 syarikat milikan MBI kini mempunyai OACP bagi memperkukuh budaya integriti di semua peringkat agensi.
Beliau berkata dua syarikat terbaharu yang memiliki pelan berkenaan ialah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH Selangor).


