13 anak syarikat MBI miliki pelan antirasuah, perkukuh tadbir urus berintegriti

16 Dis 2025, 7:05 AM
13 anak syarikat MBI miliki pelan antirasuah, perkukuh tadbir urus berintegriti
13 anak syarikat MBI miliki pelan antirasuah, perkukuh tadbir urus berintegriti
13 anak syarikat MBI miliki pelan antirasuah, perkukuh tadbir urus berintegriti
13 anak syarikat MBI miliki pelan antirasuah, perkukuh tadbir urus berintegriti

KLANG, 16 DIS: Sebanyak 13 syarikat milikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI telah memiliki Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) sebagai langkah memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus berwibawa dalam agensi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop berkata dua syarikat terbaharu yang melancarkan OACP ialah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH Selangor).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop berucap pada majlis pelancaran Program Hari Integriti Kumpulan MBI dan Majlis Pelancaran OACP di Hotel KSL Esplanade, Klang pada 16 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Syarikat ‘first tier’ yang melapor secara terus kepada MBI lebih kurang 26 syarikat. Jadi kita telah capai separuh ( 13 memiliki OACP) dan kita harapkan lebih banyak selepas ini akan mengadakan pelan antirasuah masing-masing.

“Ini termasuk syarikat besar seperti Air Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) yang turut melaksanakan OACP di peringkat anak syarikat masing-masing bagi memastikan pelaksanaan yang lebih menyeluruh," katanya.

Ditemui pada sambutan Hari Integriti Kumpulan MBI dan Majlis Pelancaran OACP, di sini, hari ini, Saipolyazan berkata pelaksanaan pelan berkenaan membuktikan ikhtiar berterusan MBI dalam memastikan amalan tadbir urus berintegriti diterapkan di semua peringkat organisasi.

“Insya-Allah pada tahun-tahun mendatang, lebih banyak anak syarikat MBI akan melancarkan pelan antirasuah masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MBI turut bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menilai dan menambah baik dasar serta prosedur syarikat, sekali gus menutup sebarang ruang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita mendapatkan pandangan SPRM melalui jawatankuasa polisi untuk memastikan dasar dan prosedur yang dilaksanakan di peringkat MBI serta anak syarikat mematuhi peruntukan undang-undang.

“Usaha ini bertujuan memastikan tiada ruang untuk amalan rasuah, selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengurusan dan kakitangan supaya lebih memahami tanggungjawab serta mengelakkan salah guna kuasa,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan OACP di bawah Kumpulan MBI Selangor bermula sejak 2023 dengan memberi keutamaan kepada syarikat utama dan syarikat ‘first tier’ yang terlibat dengan nilai perolehan serta transaksi kewangan yang tinggi.

“Kita mulakan dengan MBI dan syarikat besar seperti KPS dan Air Selangor kerana risiko perolehan dan nilai transaksi yang tinggi.

“Selepas itu barulah diperluaskan kepada syarikat yang lebih kecil seperti YAWAS, HIJRAH Selangor serta syarikat strategik lain di bawah MBI,” katanya.