Di Selangor, kesedaran ibu bapa tentang kepentingan intervensi awal untuk anak istimewa semakin meningkat. Tahun lalu sahaja, hampir 1,000 kanak-kanak telah menjalani saringan perkembangan bersama Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS).
Namun angka itu turut menimbulkan persoalan: adakah semua kanak-kanak di negeri ini mendapat peluang sama untuk disaring? Bagaimana pula dengan mereka yang tinggal jauh di kawasan luar bandar atau keluarga yang masih keliru tentang langkah pertama yang perlu diambil?
Keprihatinan inilah menjadi asas kepada usaha YANIS memperluaskan program saringan dan intervensi awal ke seluruh negeri.

“Matlamat kami adalah memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira lokasi atau latar belakang keluarga, mendapat akses mudah kepada saringan perkembangan berkualiti seawal usia bayi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif YANIS Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.
Peluasan itu merangkumi pelaksanaan saringan di klinik kesihatan, taska, tadika dan pusat komuniti, selaras dengan hasrat negeri untuk menyeragamkan instrumen saringan di semua fasiliti.
Selain itu, YANIS turut meningkatkan latihan berterusan kepada petugas barisan hadapan seperti jururawat, guru dan pengasuh, kerana mereka merupakan individu terawal yang mampu mengesan tanda kelewatan perkembangan kanak-kanak.
Kamarul Hisham berkata pihaknya beraspirasi membina sebuah rangka kerja negeri yang menghubungkan agensi kesihatan, pendidikan awal, pusat terapi, NGO serta komuniti. Tujuannya memastikan laluan kanak-kanak daripada saringan ke intervensi jelas dan tidak terputus antara sektor.
“Pendekatan intervensi bersepadu ini penting supaya setiap kanak-kanak mendapat laluan yang konsisten daripada saringan, rujukan sehinggalah menerima intervensi awal,” tambah beliau.
Pertama di Malaysia
Sebagai usaha memperkukuh ekosistem intervensi awal negeri, YANIS baru-baru ini melancarkan dua modul intervensi awal pertama seumpamanya di Malaysia: Modul Panduan Intervensi dalam Mendidik Kanak-Kanak Berkeperluan Khas dan Modul Ibu Bapa Anak Istimewa (MANIS).

Modul ini dibangunkan hasil kerjasama pakar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Permata Kurnia, berasaskan pengalaman lapangan selama dua tahun di Pusat ANIS. Guru pendidikan khas, fasilitator dan ibu bapa kini mempunyai panduan terperinci tentang pengesanan awal, teknik rangsangan, pengurusan tingkah laku serta perkembangan holistik kanak-kanak istimewa.
“Modul ini bukan sahaja dijadikan rujukan standard negeri Selangor, malah berpotensi diperluas ke negeri lain. Ia memberi panduan lengkap dan berstruktur kepada semua pihak, dari guru hingga ibu bapa, supaya intervensi dijalankan dengan cara yang betul dan konsisten,” jelas Kamarul Hisham.
Bengkel percuma
YANIS juga menekankan pemberdayaan ibu bapa sebagai tonggak utama kejayaan intervensi awal. Ramai ibu bapa masih keliru bagaimana membantu anak di rumah atau mengakses ilmu keibubapaan berkaitan perkembangan.
Untuk mengatasi jurang ini, YANIS menyediakan bengkel berkala secara percuma, merangkumi sesi praktikal dan teori bagi melengkapkan ibu bapa dengan kemahiran parent coaching.
“Ibu bapa perlu terlibat secara aktif dan konsisten di rumah kerana mereka adalah rakan intervensi utama. Keberkesanan intervensi banyak bergantung kepada peranan mereka,” tegas Kamarul Hisham.




