SHAH ALAM, 15 DIS: Lima kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1 juta disita selepas dipercayai disimpan di sebuah gudang di Pelabuhan Klang tanpa membayar duti dan cukai yang sepatutnya.
Sitaan itu dilakukan susulan dua serbuan berasingan pada 17 dan 27 Oktober lalu oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, serbuan pertama membawa kepada penyitaan tiga kenderaan import iaitu Toyota Granace, Porsche 911 Turbo S dan BMW 420i M.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan telah melebihi tempoh penyimpanan dibenarkan di gudang berlesen, selain gagal menjelaskan duti dan cukai.
“Kes kedua melibatkan rampasan dua kenderaan elektrik jenis Dongfeng Forthing yang dipercayai tidak mempunyai permit import serta disimpan di dalam gudang zon bebas, Pelabuhan Klang.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu dibawa masuk oleh dua syarikat kenderaan terpakai,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.
Mohamad Azhar berkata, pihaknya telah merekodkan keterangan dua pemilik syarikat terlibat bagi membantu siasatan lanjut.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 bagi kenderaan petrol, manakala Seksyen 135(1)(a) akta sama bagi kenderaan elektrik.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Azhar memaklumkan JKDM Selangor turut merampas empat kontena mengandungi 108,874 kilogram gelung keluli bernilai RM909,642 termasuk duti dan cukai dalam satu operasi pada 22 Oktober lalu di Zon Bebas Pelabuhan Utara, di Pelabuhan Klang.
Menurutnya, siasatan mendapati 28 gelung keluli dipercayai diimport tanpa permit import yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) seperti ditetapkan di bawah Butiran 5, Bahagian III Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Kita mengesan pengimport membuat pengikraran tidak benar di dalam Borang Kastam 1 bagi mengelak keperluan permit import,” ujarnya.


