SHAH ALAM, 15 DIS: Penipuan ‘love scam’ mencatat peningkatan membimbangkan dengan 977 kes direkodkan dari Januari hingga November tahun ini, berbanding 715 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), jumlah kerugian yang dilaporkan juga meningkat kepada RM43 juta, berbanding RM41 juta pada 2024.
“Sebanyak 37 peratus kenaikan jumlah kes dicatatkan, manakala jumlah kerugian meningkat empat peratus berbanding tahun lalu,” kata JSJK dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi.
‘Love scam’ merujuk kepada penipuan yang melibatkan pembentukan hubungan cinta palsu melalui platform dalam talian dengan tujuan menipu wang daripada mangsa.

JSJK turut menjelaskan bahawa kebanyakan mangsa adalah wanita yang terperdaya dengan janji manis dan hadiah daripada individu tidak dikenali di media sosial.
“Kes dan jumlah kerugian meningkat setiap tahun, jadi orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menjalinkan hubungan secara maya,” katanya.
Antara langkah pencegahan termasuk tidak mudah percaya dengan individu tidak dikenali, tidak menghantar wang atau berkongsi maklumat peribadi.
Orang ramai juga digesa mendapatkan pandangan ahli keluarga atau rakan terdekat sekiranya berasa ragu terhadap sesuatu hubungan dalam talian.
JSJK turut mengingatkan agar segera melaporkan jenayah kepada Pusat Panggilan Kecemasan Penipuan (NSRC) di talian 997 jika menjadi mangsa atau mengesyaki penipuan.


