GOMBAK, 15 DIS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi pembangunan semula Kampung Indian Settlement, Batu Caves, dengan tumpuan menyediakan penempatan lebih selesa serta infrastruktur asas yang tersusun.
Dato’ Menteri Besar berkata projek itu akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan dijadual bermula selepas perayaan Thaipusam tahun depan, dengan tempoh pelaksanaan selama setahun.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, skop pembangunan merangkumi pelebaran jalan sepanjang 2.5 kilometer, pemasangan lampu jalan serta pembinaan sistem perparitan baharu bagi mengatasi masalah banjir di situ.

“Kerajaan Negeri telah mencapai persefahaman dengan penduduk dan saya berharap projek ini dapat dimulakan selepas Thaipusam selepas sekian lama tertangguh.
“Kita akan bina infrastruktur dan ia akan memberi nafas baharu kepada Kampung Indian Settlement yang telah menunggu sekian lama untuk membangunkan semula dengan penempatan secara sah, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan dan libat urus bersama penduduk Kampung Indian Settlement di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, di sini, hari ini.
Mengulas maklum balas penduduk, Amirudin berkata kebanyakan mereka, termasuk 44 keluarga yang terlibat bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan, secara prinsipnya bersetuju dengan pelaksanaan projek berkenaan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap isu pendudukan lot bukan milik asal, yang sedang diselaraskan sejak 2009 bagi memastikan setiap keluarga ditempatkan semula di lot masing-masing secara sah.
“Antara isu utama yang telah dikenal pasti ialah pengesahan rizab jalan yang wujud antara 1950-an dan 1960-an, yang kini telah diverifikasi oleh pihak berkaitan serta dikenal pasti di lapangan.
“Isu sewaan sementara dan cadangan baharu berkaitan pembangunan semula yang memerlukan pembelaan Kerajaan Negeri akan diusahakan dalam tempoh sebulan bagi memastikan penduduk menerima pembelaan serta sokongan sewajarnya,” ujarnya.
Sebelum ini, isu pemilikan tanah melibatkan 77 penduduk Kampung Indian Settlement yang berlarutan sejak 1960-an berjaya diselesaikan pada 2021, apabila kesemua mereka menerima lot masing-masing.
Kumpulan pertama iaitu 25 penduduk mendapat tanah tahun lalu di Batu Arang manakala selebihnya menerima tapak di dalam kawasan kampung terbabit tahun tersebut.



