BESUT, 15 DIS: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dipercayai dibuang ditemukan di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja, di sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh, berkata siasatan awal mendapati remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai terbabit dalam kes berkenaan selepas melahirkan bayi tanpa pengetahuan ahli keluarga lain.
Menurutnya, hasil siasatan turut membawa kepada dakwaan bahawa remaja terbabit menjadi mangsa sumbang mahram melibatkan seorang ahli keluarga.
Katanya, suspek dipercayai membuang bayi itu sebelum ditemukan penghuni rumah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan bayi dengan niat membuangnya serta Seksyen 376B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan persetubuhan antara individu yang tidak dibenarkan berkahwin mengikut hukum agama," katanya dalam kenyataan hari ni, lapor Berita Harian.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 317, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 376B, sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan.
Beliau berkata, seorang lelaki direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, manakala remaja perempuan terbabit kini menerima rawatan di hospital.



