SHAH ALAM, 15 DIS: Seorang penolong arkitek landskap kerugian RM67,789 selepas menjadi mangsa scam kerja sambilan dalam talian, menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor.
Mangsa, seorang wanita berusia 20 tahun, membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu jam 9.30 malam tadi, selepas mendapati wang simpanannya telah hilang dalam tempoh beberapa hari, lapor Berita Harian.
Menurut Azli, insiden bermula pada 12 Disember kira-kira jam 3.30 petang apabila mangsa menekan pautan tawaran kerja di Instagram yang kemudian disambungkan ke WhatsApp.
Mangsa kemudiannya diarahkan mengisi maklumat peribadi dan berhubung dengan individu lain melalui Telegram.
“Peringkat awal mangsa diminta memasukkan wang sebanyak RM10 bagi tujuan pendaftaran,” katanya.
Mangsa seterusnya diarahkan melaksanakan tugasan membeli barang di laman sesawang bernama Padini Holding.
Daripada 16 tugasan yang dilakukan, mangsa hanya memperoleh keuntungan pada tugasan pertama dan kedua berjumlah RM50 dan RM280 sahaja.
Bagi 11 tugasan seterusnya, mangsa membuat 11 pembayaran berjumlah RM67,789 ke lima akaun bank berlainan bermula 12 hingga 14 Disember, sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Azli menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kerja sambilan dalam talian, terutama apabila diminta membuat pembayaran atau berkongsi maklumat peribadi.


