SHAH ALAM, 15 DIS: Pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE 2026) dijangka memperkukuh pemetaan sebenar landskap ekonomi luar bandar di Sabak Bernam, khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor ekonomi informal yang menjadi tulang belakang komuniti setempat.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Selangor dalam kenyataan memaklumkan banci yang dijangka bermula Februari ini turut memberi tumpuan kepada landskap ekonomi baharu termasuk perkhidmatan jarak jauh, platform gig serta aktiviti perniagaan mikro dan bergerak.
Menurutnya, Sabak Bernam merupakan daerah luar bandar utama di utara Selangor dengan ekonomi berteraskan pertanian, perikanan serta perusahaan kecil dan mikro, yang majoritinya terdiri daripada PMKS, khususnya pertubuhan mikro.
“Tumpuan aktiviti ekonomi tertinggi adalah di kawasan Sungai Besar dan Sekinchan yang berfungsi sebagai pusat komersial setempat.
“Berdasarkan rekod awal BE 2026, daerah ini merekodkan 213 pertubuhan sektor informal termasuk penjaja, kedai runcit kecil dan perniagaan berasaskan komuniti, selain 90 pengusaha inap desa yang menyokong pembangunan agro-pelancongan tempatan,” katanya.
DOSM Selangor turut memaklumkan industri tumpuan di Sabak Bernam merangkumi pemprosesan makanan, khususnya industri kerepek dan produk makanan ringan yang banyak beroperasi di sekitar Sungai Besar, Parit Baru dan Sekinchan.
Jelasnya, ekosistem perniagaan setempat turut disokong oleh rangkaian pasar awam dengan tujuh pasar utama yang menempatkan 635 outlet, sekali gus menjadikan daerah itu antara pusat hasil tani, makanan laut dan produk agro yang aktif di Selangor.
“Gabungan aktiviti formal dan informal ini menjadikan Sabak Bernam kawasan signifikan dalam BE 2026, khususnya dari perspektif pembangunan luar bandar dan pemerkasaan ekonomi mikro,” katanya.
BE 2026 akan menggunakan Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025 yang baharu diperkenalkan, selaras dengan perubahan landskap ekonomi negara dan menggantikan MSIC 2008 Versi 1.0 yang telah digunakan sejak 17 tahun lalu.
Sebelum ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata analisis BE 2026 akan disusun sehingga peringkat granular merangkumi data mengikut daerah, mukim dan jenis aktiviti ekonomi.
“Pendekatan ini membolehkan analisis ekonomi yang lebih mendalam dan bersifat setempat, sejajar dengan prinsip ‘no one and no place left behind’ dalam pembangunan sosioekonomi.

“Penyertaan semua pertubuhan termasuk di kawasan bandar dan luar bandar seperti Sabak Bernam amat penting bagi memastikan data yang dihasilkan tepat, boleh dipercayai dan mencerminkan kepelbagaian ekonomi sebenar,” katanya.
Beliau berkata data tersebut akan menjadi asas strategik kepada perangkaan dasar pembangunan, pemerkasaan industri serta keadilan pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Kaedah pengumpulan data BE 2026 akan dilaksanakan melalui empat pendekatan utama iaitu pengisian borang secara dalam talian (e-BE), penghantaran borang melalui pos, komunikasi menggunakan e-mel atau telefon serta temu bual secara bersemuka.
“DOSM menyeru semua pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh banci bagi memastikan penghasilan statistik yang tepat dan berkualiti demi kemajuan ekonomi negara,” katanya.






