SHAH ALAM, 15 DIS: Usaha memperkasa ekonomi komuniti desa terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Projek Penanaman Cendawan Tiram JPKKP Kampung Tanjung, Semenyih yang dilaksanakan di bawah peruntukan Dana Pembiayaan Sejati Madani.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Wira Johan Abd Aziz berkata projek berkenaan memberi peluang kepada penduduk kampung menjana pendapatan tambahan melalui sektor pertanian moden yang berpotensi tinggi dan berdaya saing.
Menurut beliau, inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat, malah mampu membina keyakinan komuniti desa untuk terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan berasaskan pertanian.
“Projek ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung dan menjadi contoh kepada komuniti lain dalam membangunkan ekonomi setempat secara mampan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Penanaman Cendawan Tiram JPKKP Kampung Tanjung, baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kampung Tanjung serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan projek tersebut.
Menurutnya, pendekatan pembangunan komuniti melalui projek berskala kecil tetapi berimpak tinggi seperti ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Projek penanaman cendawan tiram itu dijangka memberi manfaat berterusan kepada penduduk kampung, sekali gus berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat khususnya di kawasan Semenyih.


