Bahasa Melayu teras pendidikan negara, tidak boleh dikompromi - PENA

13 Dis 2025, 2:00 PM
Bahasa Melayu teras pendidikan negara, tidak boleh dikompromi - PENA

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menegaskan sistem pendidikan negara perlu terus mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan teras Dasar Pendidikan Kebangsaan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, bahasa Melayu tidak boleh dikompromikan atau diketepikan dalam apa-apa rundingan, apatah lagi tuntutan yang bersifat ugutan politik.

Menurut beliau, pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) wajar disokong kerana melibatkan prinsip asas pendidikan negara.

“Bahasa Melayu merupakan antara teras Perlembagaan dan nilainya tidak ditentukan oleh parti politik yang berkuasa sementara, tetapi oleh seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Saleeh berkata sebarang tuntutan berkaitan pendidikan perlu berpaksikan kepentingan nasional, khususnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan mesti meletakkan bahasa Melayu sebagai nilai utama, bukan pilihan yang boleh dirunding,” tegasnya.

Beliau turut menyeru pemimpin parti politik Melayu serta pemegang taruh dalam sektor pendidikan agar bersatu mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan dan menolak pengiktirafan UEC.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

“Pendirian yang jelas penting bagi mengelakkan negara tergadai dengan "harga yang murah",” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan sebagai teraju kuasa eksekutif perlu berani mempertahankan sistem pendidikan sedia ada yang telah mengambil kira kepelbagaian kaum dan keperluan negara.

“Sistem pendidikan kebangsaan tidak boleh dipermain-mainkan oleh pihak swasta walaupun dengan alasan pengiktirafan universiti luar negara,” katanya.

Mohamad Saleeh menjelaskan penguasaan bahasa lain tidak ditolak, sebaliknya dianggap sebagai nilai tambah dalam pembangunan modal insan dan daya saing global.

“Penguasaan bahasa-bahasa lain penting, tetapi tidak boleh dicapai dengan mengorbankan bahasa kebangsaan,” tegasnya.

Beliau memaklumkan PENA bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi berkaitan bagi merangka program pemerkasaan bahasa Melayu secara inklusif.

“Setiap rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu sebagai asas perpaduan, identiti nasional dan pembinaan negara bangsa,” katanya.