SHAH ALAM, 13 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menegaskan pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap pembayaran tuntutan subkontraktor bagi kerja penurapan tar parkir dan jalan melibatkan projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, USJ 18, Subang Jaya.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata Jais bagaimanapun telah mengambil inisiatif untuk membantu mencari penyelesaian terhadap pertikaian yang timbul, meskipun isu pembayaran tersebut bukan di bawah bidang kuasa jabatan itu.
Menurut beliau, projek pembinaan masjid tersebut dibiayai oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU Selangor) dan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh agensi tersebut.
“Jais selaku agensi pengguna telah menerima Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya bernilai RM11,853,926.13 daripada ICU Selangor pada 22 April 2021 selepas memastikan semua aspek fizikal masjid dalam skop kontrak adalah memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan tular satu rakaman video di platform TikTok yang dimuat naik oleh pengguna bernama Ridzuan Ikhlas semalam, berkaitan tuntutan bayaran kerja-kerja penurapan tar parkir dan jalan di kawasan masjid berkenaan.
Mohd Shahzihan menjelaskan, sebagai agensi bukan teknikal, peranan Jais hanyalah memastikan bangunan masjid yang diserahkan memenuhi spesifikasi kontrak, dan tidak terlibat dalam urusan pembayaran kepada subkontraktor.
“Jais tidak bertanggungjawab dalam urusan pembayaran kepada subkontraktor yang dilantik. Segala isu dan dakwaan berkaitan tuntutan bayaran serta pertikaian antara pihak-pihak yang terlibat dalam kerja pembinaan adalah tidak melibatkan Jais,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Shahzihan memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah mempertemukan pihak-pihak terlibat bagi mencari jalan penyelesaian, namun usaha tersebut tidak mencapai persetujuan.
“Jais menegaskan pihaknya tidak bertanggungjawab untuk melunaskan tuntutan yang dikemukakan kerana perkara yang dipertikaikan bukan di bawah kawalan dan kuasa Jais,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak mengeluarkan sebarang ugutan, ancaman atau kenyataan berunsur fitnah terhadap jabatan itu berhubung isu berkenaan.
Selain itu, katanya, orang ramai diingatkan agar tidak menceroboh kawasan masjid atau melakukan sebarang perbuatan yang boleh merosakkan atau mencacatkan struktur binaan masjid.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Terdahulu, dalam rakaman video yang tular itu, kontraktor terlibat mendakwa telah memperoleh perintah mahkamah berkaitan kerja-kerja yang dilaksanakan, susulan tuntutan bayaran yang didakwa masih belum diselesaikan sejak 2020 dengan kos hampir RM800,000.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang individu dikenali sebagai Silvakumar dalam satu sidang media semalam.
Sementara itu, Ridzuan Ikhlas didakwa memberi tempoh tujuh hari kepada pihak-pihak terlibat bagi mencari penyelesaian secara baik sebelum sebarang tindakan lanjut dipertimbangkan.


