BANGKOK, 13 DIS: Gandingan nombor dua dunia, Pearly Tan–M Thinaah, menempah tempat di final acara beregu wanita Sukan SEA Thailand selepas menewaskan pasangan Indonesia, Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum, 21-14, 19-21, 21-16 dalam aksi separuh akhir sengit selama 78 minit di Gimnasium Universiti Thammasat, Rangsit, hari ini.
Kemenangan itu turut menambah rekod pertemuan Pearly–Thinaah ke atas pasangan Indonesia tersebut kepada 3-0. Malaysia terakhir meraih pingat emas beregu wanita pada Sukan SEA 2015 di Singapura melalui gandingan Amelia Alicia Anscelly–Soong Fie Cho.
Thinaah mengakui separuh akhir kali ini cukup mencabar, terutamanya kerana Pearly beraksi dalam keadaan kurang sihat akibat batuk.
"Sejujurnya saya sangat bangga dengannya. Dia mampu bertahan sehingga tamat perlawanan kerana kami berdua sangat kepenatan. Kami saling membantu antara satu sama lain," katanya.
Tambah Thinaah, walaupun prestasi mereka tidak berada pada tahap terbaik, semangat juang tinggi menjadi kunci kejayaan mara ke final.
"Perkara paling penting adalah kami ingin menikmati perlawanan final dan beraksi tanpa tekanan," katanya, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Pearly mengakui tahap fizikalnya menurun hari ini, namun kekuatan mental menjadi penentu kemenangan mereka.
"Saya banyak bergantung kepada kekuatan mental untuk bertahan. Thinaah banyak membantu dan menutup kelemahan saya. Tanpanya, saya tidak mungkin menang perlawanan ini," katanya.
Berpeluang menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas beregu wanita, Pearly menekankan fokus mereka kini adalah bersedia sepenuhnya untuk final esok.
"Sudah tentu ia bermakna kerana ini penampilan pertama kami di Sukan SEA. Tapi yang penting, kami ingin berikan segala-galanya esok," ujarnya.




