Dari ketua kampung ke EXCO, misi perpaduan teras kepimpinan Rizam

13 Dis 2025, 1:00 AM
Dari ketua kampung ke EXCO, misi perpaduan teras kepimpinan Rizam
Dari ketua kampung ke EXCO, misi perpaduan teras kepimpinan Rizam
Dari ketua kampung ke EXCO, misi perpaduan teras kepimpinan Rizam

Bermula sebagai ketua kampung, anak kelahiran Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail kini melangkah jauh dalam gelanggang politik apabila diamanahkan sebagai EXCO Kerajaan Selangor dengan tekad memimpin masyarakat secara inklusif dan menyeluruh.

Didikan kepimpinan yang diwarisi daripada Allahyarham bapanya, Ismail Zakaria, membentuk jati diri Rizam sebagai pemimpin yang tidak kekok turun ke lapangan dan sentiasa dekat dengan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

“Saya sejak kecil sudah terdedah kepada dunia politik dan dari situ tumbuh minat terhadap perjuangan agama, bangsa dan negara, selain sering bersama masyarakat,” katanya dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor.

Sifatnya yang mesra dan rendah diri menjadikan kehadirannya mudah didekati masyarakat, sekali gus menyerlahkan persona seorang pemimpin yang membina kekuatan daripada akar umbi sebelum menggalas amanah lebih besar sebagai pemimpin belia dan wakil rakyat.

Menceburi politik seawal usia 25 tahun, pengalaman tersebut mengasah kemahirannya dalam memberi khidmat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya, menjadikannya sosok yang memahami denyut nadi rakyat.

Selain peranannya dalam Kerajaan Negeri ketika ini, Rizam juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang, satu amanah penting dalam memastikan prinsip semak dan imbang pentadbiran negeri dilaksanakan dengan berkesan.

EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail bercakap kepada wartawan ketika ditemubual dalam program Siapa Tahu? di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 29 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Keikhlasan, bukan jawatan: Falsafah politik Rizam

Kepercayaan rakyat terhadap Rizam terserlah apabila beliau dipilih sebagai wakil rakyat Sungai Air Tawar pada usia 37 tahun, sekali gus menjadi suara masyarakat di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Bagi beliau, jawatan bukan sekadar kedudukan, sebaliknya amanah untuk mengangkat suara rakyat serta membawa perubahan yang memberi manfaat kepada tanah kelahirannya.

“Sebenarnya yang paling penting daripada didikan bapa saya ialah, kita mesti meletakkan keikhlasan sebagai tunjang dalam sesebuah perjuangan,” katanya.

Nasihat itu terus terpahat dalam dirinya. Rizam berpandangan jawatan hanyalah bayang-bayang, semakin dikejar semakin menjauh. Namun bayang-bayang itu akan mengejar sekiranya seseorang tidak terlalu mengejarnya.

Atas falsafah itu, beliau sentiasa mengingatkan dirinya setiap amanah perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, terutama ketika berkhidmat untuk kepentingan rakyat.

Belia perlu berani sertai politik, bukan sekadar komen di media sosial

Sebagai EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Rizam berpandangan golongan belia yang mempunyai gagasan dan cita-cita besar untuk membawa perubahan wajar melihat politik sebagai wadah sebenar menterjemahkan idealisme mereka.

EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail melepaskan Konvoi Jubli Emas 50 Tahun RT dan Kempen Kibar Jalur Gemilang ketika majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2025 di SJKC Pandamaran B, Klang pada 24 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Baginya, ilham dan suara anak muda tidak seharusnya terhenti di ruang komen media sosial, sebaliknya dizahirkan melalui perjuangan politik yang mampu memberi kesan lebih luas kepada masyarakat.

“Paling penting dalam setiap perjuangan anak muda adalah keikhlasan.

“Berpolitik tanpa keikhlasan tidak akan kekal, malah hanya mengundang kekecewaan di pertengahan jalan,” ujarnya.

Gagasan Rumpun Selangor, semangat Mini Malaysia

Jawatan EXCO yang dipikul Rizam bukan sekadar peranan pentadbiran, sebaliknya amanah besar untuk menyuburkan perpaduan rakyat berbilang kaum di Selangor melalui Gagasan Rumpun Selangor (GRS).

Gagasan itu tidak hanya memfokuskan anak jati Selangor, malah meraikan semua individu yang bermastautin dan bekerja di negeri ini dengan menjadikan Selangor sebagai rumah bersama.

“Walaupun kita hidup dalam kepelbagaian etnik, budaya dan bangsa, namun dengan adanya perpaduan yang kukuh, kita akan dapat mencapai keharmonian dalam bermasyarakat,” jelasnya.

Menurut beliau, Selangor terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India, dengan pemerkasaan nilai menghormati prinsip Rukun Negara sebagai asas penting dalam membina masyarakat yang makmur dan harmoni.

“Apabila nilai perpaduan tidak diterapkan dengan baik, akan timbul suasana huru-hara yang merugikan negara kerana kegagalan membangun ekonomi secara sihat dan mampan,” tambahnya.

Koperasi kunci kawal harga barang, perkasa komuniti desa

Walaupun kini bergelar pemimpin negeri, latar belakang Rizam yang membesar di desa terus membentuk kepekaannya terhadap nasib masyarakat luar bandar.

EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail sentiasa peka terhadap nasib masyarakat luar bandar. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau menekankan peranan koperasi sebagai mekanisme penting untuk menstabilkan harga pasaran secara berhemah tanpa menekan golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan tani dan komuniti desa.

Berinspirasikan pelaksanaan koperasi di negara maju Eropah dan Afrika, Rizam melihat pendekatan itu berpotensi menjadi instrumen utama dalam memastikan keselamatan makanan di samping membangunkan kawasan desa sebagai destinasi pelancongan bernilai tambah.

“Sekiranya dapat digerakkan di Selangor, koperasi berpotensi menjadi pilihan baharu masyarakat untuk memasarkan produk mereka,” katanya.

Selain membantu memantau harga pasaran, model koperasi juga membuka ruang kepada masyarakat memasarkan hasil secara lebih adil tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang tengah, sekali gus mewujudkan laluan ekonomi desa yang lebih mampan.