SHAH ALAM, 11 DIS: Penganjuran Bengkel Pembangunan Kerjaya: Selangor Career Launchpad 2025 yang berlangsung di Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) baru-baru ini, menjadi platform penting untuk membantu rakyat Selangor lebih bersedia menghadapi persaingan pekerjaan yang semakin kompetitif.
EXCO Sumber Manusia V. Pappraidu berkata, pasaran kerja masa kini bukan hanya menuntut kelayakan akademik, sebaliknya memerlukan kemahiran insaniah, keyakinan diri serta kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan industri.
"Program Selangor Career Launchpad dirangka bagi menyediakan ekosistem sokongan lebih lengkap, termasuk analisis pasaran kerja, sesi bimbingan kerjaya, serta padanan pekerjaan yang lebih terarah melalui MyFutureJobs.
"Komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan modal insan merupakan usaha berterusan untuk memastikan rakyat memiliki peluang pekerjaan lebih baik, stabil dan berpendapatan mampan," katanya.
Ujar beliau, Kerajaan Negeri akan terus menyediakan pelbagai platform latihan, peningkatan kemahiran dan sokongan kerjaya, termasuk penganjuran program berkenaan ya g merupakan sebahagian daripada komitmen besar tersebut.
"Harapan saya, agar lebih ramai rakyat Selangor mampu melangkah ke pekerjaan yang lebih baik, lebih stabil dan lebih bermakna. Setiap individu yang berjaya mendapat pekerjaan yang stabil dan berpendapatan baik bukan sahaja mengubah hidup sendiri, tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negeri.
Selain itu, beliau turut berharap para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya setiap perkongsian dan bimbingan dalam bengkel tersebut.
"Jangan malu untuk bertanya, bertukar pandangan atau mendapatkan nasihat kerjaya. Inilah peluang untuk memperkukuh keyakinan diri dan mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam pekerjaan yang lebih profesional dan berdaya saing," katanya.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama STDC, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai usaha memperkasa peluang kerjaya belia dan pencari kerja di Selangor.
Ia bukan sahaja memberikan pendedahan tentang peluang kerjaya terkini, malah membantu peserta bersedia memasuki pasaran kerja dengan lebih yakin dan berdaya saing.




