Tidak banyak karya berupaya menggetarkan jiwa bangsa dalam dunia seni pentas. Namun, Supermokh Sebuah Muzikal membuktikan teater bukan sekadar hiburan, tetapi mampu meniup semangat patriotisme.
Dipentaskan dua musim di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 2013 dan 2014, teater itu mengangkat kisah hidup Datuk Mokhtar Dahari, legenda bola sepak, sebagai simbol keberanian dan kecintaan kepada negara.
‘Saya bermain untuk lencana di dada’ antara dialog yang meresap dalam jiwa penonton di Panggung Sari. Ia membawa mesej perjuangan Mokhtar bukanlah demi populariti, tetapi untuk maruah negara.

“Setiap kali (Datuk) Awie (yang melakonkan watak Mokhtar) lafazkan dialog itu, penonton bangun dan meremang,” cerita Dato’ Hans Isaac, mengimbau pengalamannya mengarahkan pementasan muzikal itu.
Supermokh bukan hanya mengembalikan nostalgia bola sepak era 70-an, tetapi bagi Hans, ia membawa penonton mengenali susuk salah seorang pemain terhebat Asia atas kehebatan beraksi di padang.
Momen menyentuh hati, menurut pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, apabila penonton membawa anak-anak mereka untuk menyaksikan kisah wira tanah air tersebut.
“Ramai bapa kata ‘ini wira kami dulu. Dia lawan England, dia jaringkan gol untuk Malaysia, bawa Harimau Malaya layak ke Olimpik 1972’.
“(Secara tidak langsung), teater ini jadi jambatan generasi daripada ayah kepada anak, daripada nostalgia kepada inspirasi,” jelas penerbit berusia 54 tahun itu.

Tambahnya, rasa kebangsaan turut mengalir dalam dialog dan lagu. Dialog ‘kerana aku suka dengar satu sorakan, satu suara sebagai rakyat Malaysia’ menggambarkan perpaduan berbilang bangsa.
Muzik adaptasi komposer Michael Veerapen pula dipadankan dengan aksi dramatik Mokhtar menjaringkan gol, disambut sorakan penonton seperti berada di Stadium Merdeka.
Cetusan idea Sultan Sharafuddin
Idea menerbitkan teater itu lahir susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang mahukan kisah sahabat Baginda diangkat sebagai inspirasi.
Pasukan produksi kemudian menemu bual keluarga Allahyarham serta rakan sepasukan seperti Santokh Singh dan Soh Chin Ann untuk memastikan karya itu benar-benar jujur serta sarat nilai patriotisme.
Jelas Hans, tujuan utama pementasan itu untuk memberi penghormatan kepada ikon sukan tanah air yang pernah mengharumkan nama negara dan Selangor di mata dunia.
“Mokhtar bukan sahaja ikon Malaysia, tetapi pemain kesayangan Selangor. Di muzium galeri Istana Alam Shah, banyak jersi dan kasut asal beliau disimpan Baginda untuk tatapan rakyat,” kongsinya.
Beliau turut mengakui pengalaman mengarah teater berskala besar itu tidak mudah berikutan melibatkan nama besar di hati rakyat dan penaungnya adalah Sultan Selangor sendiri.
“(Justeru), kami perlu pastikan kualiti, emosi dan jalan cerita sejujur mungkin dengan kehidupan sebenar Allahyarham,” jelasnya lagi.
Gabung emosi, teknologi dan aksi
Supermokh bukan karya biografi biasa. Ia menggabungkan elemen seni yang jarang dipersembah di Malaysia - aksi bola sepak secara langsung, komedi, muzik, teknologi visual dan dramatik pentas.
Awie sebagai Mokhtar Dahari dan Maya Karin sebagai Tengku Zarina berjaya menghidupkan semula kedua-dua watak dengan penuh emosi, manakala setiap lagu dipadankan terus daripada penceritaan.
“Saya dan pasukan mahu cipta pengalaman baharu. Contohnya adegan Mokhtar berlari, melompat dan hilang di udara di tengah dewan akhirnya kami berjaya realisasikan idea itu,” katanya.
Cerita Hans, semua elemen dijaga rapi untuk menghasilkan teater bertaraf antarabangsa. Dialog diteliti satu persatu supaya mempunyai nilai emosi dan makna, kemudian diterjemah menjadi lirik.
“Kami tulis skrip dahulu, ekstrak dialog tertentu jadi lirik, kemudian dihantar kepada komposer Michael Veerapen untuk digabungkan dengan melodi,” jelasnya.
Terima pujian
Kesemua 42 pementasan selama dua musim dengan kapasiti 1,330 penonton habis terjual, membuktikan kisah seorang wira negara masih dekat di hati rakyat Malaysia.
Hari paling mendebarkan bagi Hans ketika malam gala dihadiri Sultan Sharafuddin kerana mahu memastikan Baginda dan keluarga serta sahabat Allahyarham berpuas hati dengan karya tersebut.
“Tuanku jarang memuji, tetapi selepas persembahan (Baginda) hanya berkata ‘good job’ dan tersenyum. Bila tiada teguran, itu sudah cukup bermakna,” katanya.

Bekas pemain negara termasuk Soh Chin Ann dan Santokh Singh turut memuji lakonan Awie yang disifatkan hampir menyamai gerak tubuh Mokhtar.
Ditanya kesediannya untuk mengembalikan Supermokh ke pentas teater, Hans menjelaskan segala keputusan tertakluk kepada Sultan Selangor selaku penaung dan keluarga Allahyarham.
“Saya ikut arahan. Kalau Tuanku mahu, tentu saya bersedia. Tetapi nama Mokhtar Dahari bukan milik saya, ia milik masyarakat, milik Malaysia, milik keluarganya.
“Jika diberi mandat atau arahan, saya memang ingin menghidupkan semula teater ini,” tambahnya.
Cadang hidupkan semula teater Supermokh
Teater Muzikal Supermokh men-ceritakan kisah pemain bola sepak legenda negara Datuk Mokhtar Dahari mungkin dipentaskan semula jika mendapat izin pihak berkaitan.
Pengarah Datuk Hans Isaac berkata ia tertakluk keputusan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku penaung teater itu dan keizinan keluarga Allahyarham.
“Saya ikut arahan. Kalau Baginda mahu, tentu saya bersedia. Tetapi nama (Datuk) Mokhtar Dahari bukan milik saya, ia milik masyarakat, milik Malaysia dan keluarganya.
“Jika diberi mandat atau arahan, saya memang ingin menghidupkan semula teater ini,” katanya yang juga pengerusi Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kepada Media Selangor, baru-baru ini.

Supermokh Sebuah Muzikal, dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 hingga 18 November 2013 untuk musim pertama, manakala musim kedua antara 8 hingga 21 September 2014.
Mencatatkan 17 persembahan pada pementasan pertama dan 25 persembahan dengan 1,330 tempat duduk untuk musim kedua, Hans bekerjasama dengan pelakon Harith Iskander mengarahkan teater itu.
Teater itu menampilkan pelakon dan penyanyi terkenal Awie sebagai Mokhtar, manakala Tengku Zarina dilakonkan Maya Karin, selain dibantu watak lain yang digalas bintang terkenal.
Mereka antaranya Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna bagi menjayakan pementasan tersebut.
Susunan lagu bertaraf antarabangsa dalam muzikal itu dicipta pengarah muzik Michael Veerapen dengan seni kata oleh Adlin Aman Ramli serta seni tari ciptaan Adzwadi Saini.
Mokhtar, yang digelar SuperMokh, mula bermain untuk pasukan kebangsaan seawal usia 19 tahun. Beliau meninggal dunia pada 11 Julai 1991 ketika berumur 37 tahun akibat penyakit saraf.
Allahyarham yang mewakili pasukan Selangor dianggap antara pemain terbaik Malaysia dan Asia pada 1970-an atas kejayaan meraih 10 Piala Malaysia, Piala Sumbangsih (tiga), dan Liga Super (dua).
Beberapa tahun lalu, bekas wartawan Joe Nathan Lourdes, percaya legenda bernombor 10 itu pernah menjadi penjaring gol terbanyak dunia dari 27 Oktober 1980 hingga 17 Jun 2004.
Setakat artikel itu disiarkan, Allahyarham berada di tangga kelima penjaring terbanyak dunia. Perlawanan dan gol terakhir Allahyarham untuk Selangor pada 1987.

