SHAH ALAM, 12 DIS: Program latihan komuniti pemandu pelancong anjuran Tourism Selangor bakal diperluaskan ke daerah Gombak dan Hulu Selangor tahun depan dengan pengambilan kumpulan baharu seramai 50 peserta.
Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata peluasan itu susulan kejayaan pelaksanaan fasa pertama membabitkan 49 pemandu pelancong komuniti di Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang menerima sambutan menggalakkan.
Menurut Chua Yee Ling, latihan di Gombak juga seiring usaha Kerajaan Negeri untuk menempatkan Taman Geologi Gombak–Hulu Langat dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Kita mahu pemandu pelancong yang dilatih di Gombak mampu membawa naratif geologi dengan lebih mendalam, sekali gus menjadikan penceritaan mereka lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya dalam temu bual bersama Media Selangor.
Yee Ling menjelaskan rangkaian komuniti di Sabak Bernam dan Kuala Selangor kini menjadi model ekosistem baik apabila pemandu pelancong saling bekerjasama setiap kali menerima kunjungan rombongan dan bas pelancong.
“Mereka saling mengesyorkan perkhidmatan sesama sendiri dan ini mewujudkan ekosistem pemanduan yang sihat serta mampan,” katanya.
Kumpulan pertama seramai 49 peserta dari kedua-dua daerah itu telah menamatkan latihan tiga bulan dan diraikan pada majlis graduasi pada 4 November lalu yang disempurnakan EXCO Pelancongan Dato’ Ng Sze Han.
Program latihan pemandu pelancong komuniti tersebut dianjurkan Tourism Selangor dengan pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Kurikulumnya merangkumi empat modul utama:
pemetaan aset warisan
teknik interpretasi dan penceritaan
pengurusan layanan pelancong
pembangunan profesional berterusan
Inisiatif berkenaan memberi penekanan kepada peningkatan profesionalisme, kemahiran naratif budaya serta penyampaian nilai pelancongan setempat secara lebih berkesan.





