Pengurniaan darjah kebesaran jadi dorongan tabur khidmat terbaik untuk rakyat – Rizam

11 Dis 2025, 11:00 AM
Pengurniaan darjah kebesaran jadi dorongan tabur khidmat terbaik untuk rakyat – Rizam
Pengurniaan darjah kebesaran jadi dorongan tabur khidmat terbaik untuk rakyat – Rizam

KLANG, 11 DIS: EXCO kemajuan desa yang menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) sempena Hari Keputeraan ke-80 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyifatkan pengiktirafan itu sebagai dorongan untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Ditemui di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Dato’ Rizam Ismail menzahirkan rasa amat berbesar hati dan menjunjung kasih atas penganugerahan tersebut selain berazam untuk bekerja lebih keras demi kemakmuran rakyat.

“Penganugerahan ini menyuntik semangat baharu untuk saya bekerja lebih keras memperjuangkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di negeri ini.

”Saya juga mendoakan Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin sentiasa dikurniakan kesihatan dan kekuatan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahari Samingon yang menerima Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S), turut menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan itu.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahari Samingon ketika hadir dalam Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-80 di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR

“Saya bersyukur dan komited untuk terus melakukan yang terbaik untuk MBPJ. Perkhidmatan MBPJ akan dipertingkatkan berdasarkan aduan dan cadangan rakyat, selaras usaha menjadikan Petaling Jaya bandar paling bahagia dan mampan,” katanya.

Bagi Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor penerimaan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) merupakan pengiktirafan terhadap kerja keras pasukan Yayasan MBI khususnya dalam menangani insiden kebakaran di Putra Heights.

Ketua yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor ketika hadir dalam Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-80 di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Saya dan pasukan Yayasan MBI akan terus berusaha dengan lebih cekap dan berkesan bagi memastikan setiap inisiatif memberi manfaat sebenar kepada rakyat Selangor,” katanya.

Sempena Keputeraan ke-80 Sultan Selangor, seramai 98 penerima menerima darjah dan bintang kebesaran, termasuk Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K. II) kepada puteri baginda, YAM Tengku Zerafina.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr Haniff Zainal Abidin.

Semua penerima melalui tiga tapisan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (keselamatan dan jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).