KLANG, 11 DIS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor memberi perkenan melaksanakan Jelajah Jubli Perak ke sembilan daerah di negeri ini sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tahun depan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas limpah perkenan Tengku Amir Shah untuk melaksanakan jelajah tersebut bersempena 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
“Tahun hadapan merupakan tahun yang lebih bernilai dan bermakna bagi seluruh rakyat negeri kerana Selangor akan meraikan Sambutan Jubli Perak bersempena 25 Tahun Pemerintahan dipayungi Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Kerajaan Tuanku juga berikhtiar untuk satu projek infrastruktur dilaksanakan di setiap daerah yang berkait dengan kemudahan awam sama ada pembinaan baharu ataupun baik pulih bagi manfaat rakyat Tuanku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan taat setia sempena Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.
Amirudin turut memaklumkan, Selangor akan menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA ke-22 tahun depan selepas kali terakhir menjadi tuan rumah 27 tahun lalu.
“Patik dan pasukan telah memperuntukkan RM100 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi persediaan dan penganjuran SUKMA bagi pemantapan infrastruktur seperti Pusat Akuatik Selangor serta latihan bagi atlet merah kuning,” katanya.
Sultan Sharafuddin dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan pada 22 November 2001, susulan kemangkatan Paduka Ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 21 November 2001.


