Dari but kereta ke Galeri Shah Alam: Karya Haron Mokhtar dihargai Sultan Selangor

12 Dis 2025, 12:00 AM
Dari but kereta ke Galeri Shah Alam: Karya Haron Mokhtar dihargai Sultan Selangor
Dari but kereta ke Galeri Shah Alam: Karya Haron Mokhtar dihargai Sultan Selangor
Dari but kereta ke Galeri Shah Alam: Karya Haron Mokhtar dihargai Sultan Selangor
Dari but kereta ke Galeri Shah Alam: Karya Haron Mokhtar dihargai Sultan Selangor

Saat berada di galeri di tengah-tengah sawah menghijau, satu persatu karya pelukis terkenal, Haron Mokhtar menggamit sorotan mata. Dari bancuhan warna hingga lengkungan garis, semuanya mengasyikkan.

Tidak puas rasanya menatap keindahan dan kehalusan seni karya beliau. Imej rumah dan bangunan dalam aneka bentuk dan rupa yang menjadi identiti beliau sekian lama terasa begitu hidup sekali.

Haron begitu setia dengan rumah dan bangunan bersejarah ketika pengkarya lain terpesona dengan figura manusia atau panorama alam. Baginya, rumah bukan sekadar struktur, ia simbol kehidupan.

Pelukis, Haron Mokhtar di Galeri Merah Teratak Anak Amas, Sungai Besar pada 30 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Saya membesar dalam rumah buruk. Sebab itu, sejak kecil saya cukup suka lukis rumah yang cantik. Tiada pensel dan kertas tapi saya cuba lukis rumah impian di tanah sahaja.

“Rumah itu lambang tiga perkara besar. Ekonomi, politik dan sosial. Dari rumah, kita tahu siapa pemiliknya, bagaimana dia hidup, apa cita-citanya,” katanya yang kini berusia 62 tahun.

Mengimbau kenangan lebih 50 tahun, Haron mendiami rumah di Sungai Besar, Sabak Bernam bersama 11 saudara kandungnya. Meski ramai, beliau selalu berasa sunyi.

Dalam sepi, Haron melukis setiap hari. Tanpa disedarinya, kesunyian itu menjadikan dirinya kini.

Sejak berusia tujuh tahun lagi, beliau mula menjual lukisannya. Bukan wang dikejarkannya tetapi mengharapkan pensel dan kertas sebagai tukaran demi meneruskan kegemarannya - melukis.

“Ramai kawan-kawan suka tengok lukisan saya, disebabkan saya hidup susah. Sukar dapatkan kertas dan pen, jadi saya tukar karya saya untuk mendapatkan barang-barang itu,” katanya.

Hobi itu dibawa beliau ke Institut Teknologi Mara (kini UiTM). Meski ibu bapanya tidak menyenangi keinginan seninya lantaran dianggap tiada masa depan, beliau tidak sesekali putus asa.

“Jadi, saya pujuk mereka, saya masuk bidang perguruan. Tapi seni tetap tak tinggal,” katanya.

Latar belakang

  • Asal: Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor

  • Umur: 62 tahun

  • Pendidikan: Seni Halus, UiTM

  • Kerjaya: Bekas guru seni visual, kini pelukis sepenuh masa

  • Pencapaian: Pemenang Bakat Muda Sezaman (1987), 8 pameran solo, ratusan pameran berkumpulan

  • Gaya Lukisan: Dua lapisan (bangunan & kehidupan), berkonsepkan rumah dan jati diri Melayu

  • Galeri: Galeri Merah Teratak Anak Amas, Sungai Besar

Dari but kereta ke istana

Tahun 1994, titik kehidupannya mula berubah. Puluhan karyanya diusung dalam but kereta ke Galeri Shah Alam. Biarpun gentar, beliau mahu mencuba nasib meski belum ada nama waktu itu.

Cubaannya berjaya. Pengurusan galeri menaja pameran solo pertama beliau.

Lebih mengejutkan, semua 60 lukisan di pameran Siri Kaseh Sayang habis terjual. Itu detik perubahan besar. Lebih-lebih lagi, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada waktu itu bergelar Raja Muda Selangor menjadi penaung galeri.

Peristiwa tersebut juga menjadi penanda aras buat Galeri Shah Alam yang berjaya membawa pelukis tanpa nama besar tetapi karyanya laris.

“Difahamkan waktu itu Baginda Tuanku mula mencari siapa saya, siapa pelukis yang tidak dikenali tapi karyanya habis. Saya tidak meninggi diri, tetapi saya terharu, ada juga pengumpul-pengumpul terkenal mula mencari saya waktu itu.

“Saya tak pernah minta apa-apa. Tapi Allah hantarkan orang baik. Tuanku sangat menghargai seni, sangat cinta sejarah. Dari situlah rezeki saya berkembang,” kata Haron lagi.

Galeri di bendang

Beliau juga memiliki galeri yang dinamainya Galeri Merah Teratak Anak Amas. Didirikan sejak 2021, ia cetusan idea Sultan Selangor kesembilan itu. Pesan Baginda yang masih segar dalam ingatannya: “Haron, kalau hendak buat galeri lukisan, buat di kampung. Jangan di bandar. Majukan kampung.”

Kini, galeri di pinggir bandar itu menjadi magnet pelancongan seni. Setiap bulan, ada sahaja pengunjung dari Kuala Lumpur mahupun luar negara ke Sungai Besar untuk menikmati karyanya.

“Saya dulu fikir siapa nak datang tempat saya ini, jalan pun tak elok,” katanya sambil ketawa.

“Tapi Tuanku kata, kalau orang minat, teruk macam mana pun orang tetap datang. Dan memang betul, orang datang.”

Identiti karya

Dua lapisan, itu gaya lukisan Haron. Bangunan di atas, kehidupan di bawah. Menurut bapa empat anak itu, identiti tersebut muncul pada 1983 ketika beliau meneliti konsep Dasar Pandang ke Timur.

“Kalau tengok seni karya Bali, terus tahu itu dari Bali. Kalau tengok Jepun, terus tahu Jepun. Jadi saya tanya diri saya, apa jati diri saya sebagai pelukis Melayu?”

Antara hasil karyanya Haron Mokhtar di Galeri Merah Teratak Anak Amas, Sungai Besar pada 30 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Selain itu, pensyarahnya dahulu juga pernah bertanya mengapa karya beliau selalu ada ruang kosong di tengah-tengah. Haron menjelaskan ruang berkenaan untuk bernafas, ruang berfikir untuk manusia.

Konsep itu membawa Haron menggungguli pertandingan Bakat Muda Sezaman pada 1987, menjadikan namanya diiktiraf dalam sejarah seni moden tanah air. Sejak itu, beliau tekal dengan gaya tersebut.

“Kalau orang tengok karya saya dan terus kata ‘ini Haron Mokhtar’, itu sudah cukup. Macam dengar suara Siti Nurhaliza, kita tahu itu dia.”

Kini pada usia warga emas, Haron bersara daripada dunia perguruan dan memberi tumpuan penuh kepada lukisan. Hidupnya sederhana, dikelilingi sawah yang pernah menjadi kanvas pertamanya.

“Seni ini, kalau kita buat dengan hati, dia jadi zikir,” katanya yang menganggap seni bukan sekadar kerjaya tetapi ibadah.

Antara hasil karyanya Haron Mokhtar di Galeri Merah Teratak Anak Amas, Sungai Besar pada 30 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Perjalanan Haron bukan kisah glamor artis kota tapi ceritera anak kampung yang melakar masa depan dengan kanvas dan warna. Dari rumah usang di Simpang Lima, beliau memiliki galeri di tanah kelahirannya. Lukisannya bukan hanya hiasan dinding tapi warisan visual bangsa.

Di bawah langit yang sama, di tengah-tengah sawah yang menjadi saksi masa kecilnya, Haron masih terus melukis. Tangannya mungkin makin berkedut tapi warna di kanvasnya tetap bernyala.

Teruja lukisan diabadikan di muzium

Pelukis tersohor Haron Mokhtar teruja apabila lebih 20 karyanya yang terjual dalam pameran Siri Perakam Waktu pada 2018, dipamerkan di Muzium Sultan Alam Shah.

Beliau berkata pameran solo kelapan itu pernah diletakkan di Galeri Shah Alam dan ada antara hasil kerjanya dibeli Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ketika pameran itu, kesemua 86 lukisan habis terjual. Selepas itu, saya tidak tahu ke mana ia pergi sebab waktu itu hanya terima wang pembelian lukisan sahaja.

“Tetapi hari ini pada 2025, (lukisan) mencecah (usia) tujuh hingga lapan tahun, barulah saya sedar karya saya sebenarnya berada di satu tempat yang saya anggap sangat mulia iaitu muzium.

“Ini kerana pada saya, muzium adalah khazanah yang sangat besar takrifnya untuk masa depan. Tempat yang menjadi pengekalan budaya,” katanya kepada Media Selangor pada 24 November.

Antara hasil karyanya Haron Mokhtar di Galeri Merah Teratak Anak Amas, Sungai Besar pada 30 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Siri Perakam Waktu dengan tajuk Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018 menumpukan empat tema utama iaitu adat, budaya dan warisan, haiwan, figura serta pengangkutan.

Tajuk dalam karya pelukis kelahiran Sabak Bernam itu antaranya Siri Khazanah Bahari I-IX, Waris Baba dan Nyonya I-III, Pelamin Baba Nyonya dan Balik Haji I-II.

Mesra dipanggil Cikgu Haron, beliau me-nyifatkan siri pamerannya itu meninggal-kan kesan mendalam berikutan berlaku perubahan corak warna dalam lukisan yang melambangkan kepelbagaian emosi.

“Saya menghabiskan kira-kira dua tahun untuk menyiapkan karya bagi pameran ini dan ketika itu saya sakit, suka guna warna-warna gelap dan suram mencerminkan emosi tertekan.

“Warna ceria muncul pada penghujung siri apabila kesihatan dan emosi semakin pulih. Disebabkan itu jika datang ke muzium, boleh lihat perbezaan warna, ada ceria dan ada sedikit suram,” katanya.

Muzium Sultan Alam Shah dibuka semula pada Februari tahun ini dengan kos RM5.23 juta.

Lebih 1,000 bahan termasuk artifak, diorama, model dan replika dipamerkan merangkumi sejarah, kebudayaan, warisan dan 800 spesimen berkaitan alam semula jadi khususnya di Selangor dan Malaysia.