SHAH ALAM, 11 DIS: Program pendidikan bola sepak peringkat akar umbi perlu diperluas ke kawasan luar bandar bagi memperkukuh ekosistem sukan berkenaan di Selangor.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan saranan tersebut disampaikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ketika kunjungan hormat kepada Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin semalam.
Menurutnya, FAS mahu ilmu serta asas permainan bola sepak disebarkan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.
“Pertemuan itu turut membincangkan pembangunan modal insan melalui peluang pembukaan serta penambahbaikan kursus jurulatih bagi melahirkan tenaga pakar bertaraf profesional di peringkat negeri.
“Cadangan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh bakat muda dan memantapkan ekosistem bola sepak negeri,” katanya menerusi Facebook.
Pada Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Johan Kamal Hamidon berkata usaha membangunkan bakat bola sepak akar umbi menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 2,000 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun mengikuti latihan mingguan melalui program Soccer School.
Menurutnya, program itu turut digabungkan dengan Liga Persatuan Bola FAS serta jelajah sekolah secara berkala, sekali gus membentuk laluan pembangunan lebih tersusun bagi pemain muda mara ke skuad belia dan senior negeri.
Antara pemain pasukan utama Selangor FC yang lahir daripada program pembangunan kelab ialah Haykal Danish, Muhammad Khalil, Raimi Shamsul dan Moses Raj.
Mereka kini menyertai skuad senior dan menjadi antara tonggak yang menyumbang dalam musim 2025/26.


