Memasuki Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz bagai menyelak lembaran sejarah negeri.
Dari kemelut peristiwa yang menabalkan Raja Lumu sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pertama pada 1766 hingga kemahkotaan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, sultan kesembilan.
Begitu rinci sekali. Dari sekecil-kecil artifak seperti bekas cerut hadiah pemberian Frank Athelstane Swettenham kepada Sultan Abdul Samad, pelbagai gambar, pakaian diraja, replika kapal layar hinggalah alat kebesaran termasuk singgahsana, cop mohor dan pedang kerajaan.
Setiap sudut, bahkan segenap penjuru bangunan warisan yang dibina pada 1909 sebelum dirasmikan pada 17 Oktober 2007 itu dimanfaat sepenuhnya.
Bukan sekadar peragaan dalam cermin yang menyimpan ceritera sejarah, dindingnya juga ada bingkai peta, gambar bahkan basikal.
Pun begitu, susunannya teratur sekali. Tidak terasa terganggu saat beralih dari satu ruangan ke ruangan lain. Lebih-lebih lagi, langkah selalu dipegunkan dek perincian maklumat menarik.
Tersergam di Jalan Stesen, Klang, galeri itu usaha sulung Sultan Sharafuddin sebaik sahaja menduduki takhta pada 2001.
Ia menyambung legasi Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang merintis pembinaan Muzium Kenangan di Kampung Jawa, Klang.
Sebelum dibuka kepada umum mulai 1 November 2007, Sultan Sharafuddin mencari sendiri koleksi untuk dipamer termasuk ukiran cenderamata Orang Asli Mahmeri.

Bahkan, hampir semua susun atur bahan peragaan di galeri itu ada sentuhan Baginda.
“Tuanku sendiri yang pilih gambar atau sesuatu barangan. Tuanku olah susunan yang menunjukkan dedikasi Ayahanda dari bermulanya pembelajaran, zaman Jepun, selepas merdeka hingga menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11,” kata Dato’ Munasor Aliyasak, pengurus besar galeri itu.
Galeri tersebut juga memenangi tempat pertama dalam kategori Projek Khas dari FIABCI Malaysia.
FIABCI singkatan bahasa Perancis iaitu Federation Internationale des Administrateurs de Bien-Conselis Immobiliers atau Pertubuhan Hartanah Antarabangsa.
Tahun berikutnya, galeri itu muncul finalis Anugerah FIABCI Prix d’Excellence bagi kategori sektor awam yang menilai kriteria antaranya seni bina dan reka bentuk, pembangunan serta pembinaan dan faedah kepada masyarakat dan dampak kepada alam semula jadi.
Koleksi unik
Galeri itu terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu sejarah dan latar belakang galeri, salasilah kesultanan, sejarah awal Almarhum Sultan Salahuddin, alat kebesaran diraja dan keluarga diraja, tugas-tugas diraja, Yang di-Pertuan Agong ke-11, koleksi diraja dan ruang pameran sementara.
Bangunan tersebut direka bentuk oleh arkitek Athur Benison Hubback dan dikenali sebagai Rumah Putih Klang. Pada 1989, Sultan Salahuddin kemudian menamakannya sebagai Bangunan Sultan Suleiman.
Arthur juga mereka bentuk banyak bangunan ikonik antaranya Kelab Diraja Selangor, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Carcosa Sri Negara, Pejabat Pos Kuala Lumpur dan Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.
Menurut Munasor yang berkhidmat di situ sejak lebih dua dekad, setiap ruang pameran ada jalan cerita tersendiri. Seakan-akan menelusuri babak penting institusi diraja yang tidak terpisah daripada peristiwa dalam negeri.
Selain itu, aneka koleksi antaranya jam, setem, syiling peringatan, kopiah dan tengkolok Almarhum Sultan Salahuddin juga terletak rapi. Turut ditempatkan, pelbagai hadiah pemberian kerajaan luar kepada Selangor.

Pejabat Almarhum Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-11 juga ‘dibina’ semula di galeri tersebut termasuk meja dan kelengkapan lain. Muskat atau pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong lengkap dua bilah keris juga diperaga kemas.
Paling menggamit perhatian, basikal yang digunakan Baginda ketika melawat rakyat di pedalaman termasuk Pulau Indah dan Pulau Ketam.
Masyarakat umum sememangnya mengenali Almarhum Baginda sebagai sultan berjiwa rakyat semasa hayat.
Baginda yang memerintah negeri sejak 1960 mangkat pada 22 November 2001.
Sejak pembukaannya hingga kini, Sultan Sharafuddin mengambil berat peranan galeri tersebut sebagai penyimpan khazanah bersejarah diraja.
Baginda senantiasa memantau perkembangannya dan menitahkan cadangan penambahbaikan.
“Tugas kami cuma susun atas perkenan Tuanku sendiri. Sampai sekarang Tuanku masih pantau galeri ini. Tuanku ada ‘mata dan telinga’ yang selalu lapor apa yang terjadi. Kami perlu sentiasa pastikan galeri terjaga dalam keadaan baik.
“Lawatan terakhir Baginda kira-kira tiga bulan lepas dengan membawa tetamu penting iaitu Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam,” kata Munasor.
Tumpuan pelancong
Galeri tersebut juga menjadi tumpuan pelancong dan penyelidik. Justeru, ia dilengkapi audio lapan bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, Arab, Perancis, Sepanyol dan Jepun sejak 2020 lagi.
Seiring peredaran teknologi, kemudahan itu dipertingkat dengan sentuhan kecerdasan buatan (AI). Inisiatif itu memudahkan pengunjung tanpa mengira bahasa pertuturan memahami kisah Selangor khususnya zaman pentadbiran Sultan Salahuddin.
“Hanya perlu imbas kod QR dan pilih bahasa. Kita lihat ini menjadi keperluan pelancong. Memang ada penerangan fakta dalam bahasa Inggeris, namun bukan semua pelancong fasih. Ia seiring hasrat Sultan Sharafuddin yang mahu galeri ini bertaraf antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, aplikasi berkenaan hanya boleh diakses menggunakan kelengkapan telefon milik galeri itu. Ia sebagai langkah ketat mengawal dan memelihara ketulenan fakta sejarah diraja Selangor.
“Tidak boleh dimuat naik di telefon bimbit lain. Hanya aset kita sahaja boleh akses sebab hendak jaga segala fakta. Kalau kita benarkan orang luar mengaksesnya, mungkin boleh berlaku manipulasi fakta,” katanya.
Mulai Disember, galeri tersebut akan membuka ruang pameran baharu mengisahkan perjalanan hidup Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dari kecil hingga hari perkahwinan Baginda bersama Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.
Galeri juga mencatat sejarah dalam Istiadat Pernikahan Diraja apabila Tengku Amir Shah memulakan perarakan sejauh 1.2 kilometer dari lokasi berkenaan menaiki Rolls Royce menuju ke Masjid Istana Diraja Istana Alam Shah, Klang.



