Hari ini, 10 Disember pada 1941, dua kapal perang kebanggaan British, HMS Prince of Wales dan HMS Repulse tenggelam akibat serangan tentera Jepun.
Kedua-dua kapal itu dibawa dari London ke Singapura bukan sekadar sebagai aset ketenteraan, tetapi sebagai simbol kekuatan British.
Kehadiran mereka bertujuan menakut-nakutkan Jepun agar tidak melancarkan serangan ke atas Tanah Melayu, namun ia bertukar sebaliknya.
Misi sulit ke Teluk Siam
Dua hari sebelum tragedi, HMS Prince of Wales dan HMS Repulse diarah bergerak ke Teluk Siam bagi melancarkan serangan mengejut terhadap Jepun.
Bagaimanapun, rancangan itu terbongkar dan pergerakan mereka disedari musuh sehingga menyebabkan misi berkenaan dibatalkan.
Kedua-dua kapal itu diarah berpatah balik. Ketika dalam perjalanan pulang, satu maklumat mengatakan tentera Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan telah diterima.
Sekali lagi arah pergerakan diubah dan kedua-dua kapal diarah menuju ke kawasan tersebut dengan harapan dapat melancarkan satu lagi serangan mengejut.
Silap percaturan
Namun, percaturan British terbukti silap kerana Jepun sebaliknya bertindak lebih pantas dengan melancarkan serangan udara.
Bom digugurkan secara bertubi-tubi ke atas kedua-dua kapal, sedangkan British tidak bersedia sepenuhnya dan tidak mempunyai perlindungan udara yang mencukupi.
Sekitar 11 pagi, serangan bertambah hebat. Dalam tempoh kurang dua jam, HMS Prince of Wales dan HMS Repulse akhirnya ditenggelamkan di perairan Kuantan.
Dua kapal yang dianggap kebal itu tewas sepenuhnya dalam serangan udara Jepun.
Kegemilangan laut British di Asia berakhir
Tragedi mengorbankan 830 tentera British membuktikan kelemahan kuasa laut tanpa sokongan udara dan pertahanan British di Asia Tenggara sehingga membuka laluan kepada kemaraan Jepun di Tanah Melayu.
Insiden itu kekal sebagai peringatan pahit tentang kesilapan strategi dalam sejarah peperangan.



