Selangor perkukuh infrastruktur jalan hadapi risiko banjir, perubahan iklim

10 Dis 2025, 7:26 AM
Selangor perkukuh infrastruktur jalan hadapi risiko banjir, perubahan iklim

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri komited meningkatkan ketahanan infrastruktur jalan di kawasan berisiko tinggi banjir dan tanah lembut melalui pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan cabaran perubahan iklim.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Dato' Ir Izham Hashim berkata negeri kini memberi tumpuan kepada kaedah pembinaan yang mampu menahan kesan kenaikan paras air serta ketidakstabilan tanah, termasuk penggunaan teknologi Sistem Tetulang Pratuang (SPS) dari Indonesia yang terbukti berkesan dalam keadaan ekstrem.

Menurutnya, kajian menunjukkan teknologi itu bukan sahaja menjimatkan kos, malah mempercepatkan proses pelaksanaan penyelenggaraan jalan di kawasan sensitif.

Beliau berkata projek perintis di Bagan Pasir, Tanjong Karang turut menunjukkan prestasi positif apabila struktur jalan kekal kukuh dan stabil ketika paras air laut meningkat, berbeza dengan keadaan sebelum ini yang sering mengalami keruntuhan.

“Saya percaya penggunaan teknologi inovatif seperti ini adalah langkah penting ke arah meningkatkan ketahanan infrastruktur negeri. Harapan saya pendekatan baharu ini dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan berisiko demi memastikan keselesaan rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Langkah itu dilihat selari dengan keperluan negeri untuk menambahbaik infrastruktur di kawasan pantai dan tanah rendah yang semakin terdedah kepada risiko banjir dan hakisan akibat perubahan cuaca.

Sebelum ini, Izham berkata Program Turapan Mega yang akan bermula Januari depan bakal diperluas ke jalan kampung dan kawasan pertanian dengan penggunaan SPS.

Untuk rekod, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan Turapan Mega dengan peruntukan RM55 juta pada 2026, meningkat berbanding RM50 juta tahun ini.

Pengumuman itu dibuat ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 pada November lalu.

Program Turapan Mega yang mula diperkenalkan pada 2023 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur jalan negeri secara menyeluruh.