KUANTAN, 10 DIS: Pengusaha restoran kerugian RM783,000 akibat terperdaya skim pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi laman Facebook.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata lelaki berusia 30 tahun itu yang tertarik dengan tawaran berkenaan dihubungi seorang individu sebelum mangsa dijanjikan pulangan harian antara RM550 hingga RM600.
Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat 23 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza antara 20 Oktober hingga 7 Disember lalu menggunakan wang simpanan peribadi, simpanan perniagaan, pinjaman keluarga serta jualan barang kemas.
“Namun selepas bayaran dibuat, mangsa gagal mengeluarkan wang keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA


