SHAH ALAM, 9 DIS: Penduduk terjejas akibat ribut di Kampung Kubu Gajah menarik nafas lega selepas menerima bantuan RM1,000 daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Kerosakan akibat ribut sebelum ini mengakibatkan beberapa rumah rosak, termasuk bumbung tercabut serta barangan elektrik musnah akibat tempias hujan dan limpahan air.
Bagi Harun Sulong, 85, bantuan itu hadir sebagai penyelamat ketika beliau berdepan kerugian besar selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.

“Hujan sangat lebat, air naik sampai paras lutut. Habis semua barang rosak. Terima kasih atas sumbangan ini, sebab sekarang memang tak mampu baiki rumah,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan.
Seorang lagi penerima, Siti Hajar Mohamad, 35, turut bersyukur dengan keprihatinan MBI terhadap kesusahan penduduk yang terkesan sejak ribut melanda Ogos lalu.
“Alhamdulillah, terima kasih banyak kepada MBI,” katanya ringkas.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman turut menzahirkan penghargaan kepada MBI yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi penduduk di Selangor.
"MBI sangat berperanan dan melegakan kesusahan rakyat yang mana saya harapkan MBI terus maju," kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop berkata pihaknya komited membantu mangsa bencana di Selangor dari semasa ke semasa.



