SHAH ALAM, 10 DIS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang rakyat Malaysia yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang diteruskan dan kini memasuki hari ke-15.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memberikan bantuan konsular kepada keluarga mangsa selain berhubung rapat dengan pihak berkuasa Indonesia.
Mangsa, Asrul Nizam, dipercayai tertimbus dalam runtuhan tersebut dan pencarian kini dipusatkan di kawasan tebing sungai serta runtuhan berhampiran Jambatan Kembar. Setakat ini, pasukan SAR belum menemui sebarang petunjuk baharu.
Sementara itu, seorang wanita warga Malaysia berusia 64 tahun yang sebelum ini tidak dapat dihubungi di Aceh telah disahkan selamat dan kembali ke Malaysia pada 8 Disember.
“Kini tiada laporan baharu mengenai rakyat Malaysia yang hilang atau terjejas. Mereka yang berada atau melalui kawasan terjejas dinasihatkan sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia,” menurut kenyataan kementerian.
Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia di luar negara mendaftarkan diri dengan pejabat perwakilan Malaysia terdekat serta mengekalkan komunikasi dengan keluarga. Mereka yang memerlukan bantuan atau tidak dapat menghubungi saudara-mara digalakkan menghubungi Konsulat Jeneral.
Dalam masa sama, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memantau perkembangan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara.
Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan akses ke beberapa kawasan yang sebelum ini terputus kini bertambah baik, membolehkan pasukan SAR memasuki lebih banyak lokasi. Keadaan banjir di beberapa daerah juga semakin stabil dan memasuki fasa pemulihan awal.
Bagaimanapun, beberapa kawasan pedalaman di Aceh Tamiang, Sumatera Barat dan Tapanuli masih berdepan kekangan akses, bekalan asas dan pemulihan perkhidmatan penting.


