SHAH ALAM, 9 DIS: Program Usahawan Siswazah (GROW) dan Siswazah Lanjutan (GROW PLUS) edisi tahun ini yang melibatkan penyertaan 60 peserta mencatat nilai jualan sebanyak RM106 juta.
EXCO pembangunan usahawan berkata transaksi dikutip sepanjang sembilan bulan program berjalan bermula Mac itu menunjukkan usaha dilaksana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkesan selain mampu memperluaskan produk tempatan.
“Program seperti ini akan terus diperkasa untuk membantu lebih ramai terutama usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). Di peringkat negeri, kita akan terus mengenal pasti usahawan berpotensi untuk kembangkan lagi produk mereka.
“Yang paling penting, usahawan ini terbuka menerima ilmu dan sedia dibimbing. Kita bukan hanya beri asas perniagaan sahaja sebaliknya menyeluruh termasuk aspek pemasaran, jaringan niaga selain konteks digitalisasi supaya usaha kita dapat bimbing yang lain,” kata Najwan Halimi.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Program GROW dan GROW PLUS yang berlangsung di ibu pejabat PKNS di sini hari ini.
Sementara itu, PKNS menerusi kenyataan memaklumkan lebih 35 program keusahawanan telah dianjur sejak 1996 dan semuanya memberi faedah dan manfaat besar kepada pelbagai golongan dan peringkat masyarakat.
“Program-program ini membuktikan bimbingan yang tepat mampu mengubah hala tuju perniagaan secara drastik.
“Inisiatif juga dapat meningkatkan kualiti usahawan ke arah lebih berdaya saing dan maju serta mampu menguasai pasaran domestik dan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.




