Wartawan Tanpa Sempadan: 67 wartawan terbunuh sepanjang setahun

9 Dis 2025, 9:51 AM
Wartawan Tanpa Sempadan: 67 wartawan terbunuh sepanjang setahun

PARIS, 9 DIS: Seramai 67 wartawan terbunuh ketika menjalankan tugas dalam tempoh 12 bulan lepas, kebanyakannya akibat peperangan atau oleh rangkaian jenayah, menurut pertubuhan hak asasi Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) pada Selasa, lapor agensi berita Jerman dpa.

Angka bagi tempoh dari awal Disember 2024 hingga awal Disember tahun ini adalah hampir sama dengan tahun sebelumnya.

Semenanjung Gaza kekal sebagai wilayah paling berbahaya, dengan 29 wartawan terbunuh, diikuti Mexico yang menyaksikan sembilan wartawan kehilangan nyawa.

“Setiap wartawan yang mati dan setiap wartawan yang ditahan merupakan amaran kepada kita di Jerman bahawa sesiapa yang menyerang wartawan sebenarnya menafikan hak kita semua untuk mendapatkan maklumat tanpa halangan,” kata ketua RSF di Jerman, Anja Osterhaus.

Beliau berkata kerajaan di seluruh dunia perlu bertindak. “Apabila wartawan yang melaporkan secara kritikal terpaksa takut terhadap kebebasan atau nyawa mereka, demokrasi sendiri berada dalam bahaya di peringkat global,” tambahnya.

Laporan itu menyatakan bahawa 503 wartawan kini dipenjarakan di 62 negara, sedikit kurang berbanding tempoh sebelumnya. China menduduki tempat teratas dengan 121 wartawan dipenjarakan, diikuti Rusia (48) dan Myanmar (47).

Rusia menahan bilangan wartawan asing terbanyak, termasuk 26 warga Ukraine, diikuti Israel yang menahan 20 warga Palestin. Selain itu, 135 pekerja media dilaporkan hilang, sebahagian daripadanya selama lebih 30 tahun.

Wartawan dilaporkan hilang di 137 negara, dengan kebanyakan kes berlaku di Asia Barat dan Amerika Latin.

Syria paling terjejas teruk, dengan ramai wartawan hilang ketika pemerintahan Bashar al-Assad. Keadaan sama berlaku bagi wartawan yang diculik kumpulan ekstremis, yang disenaraikan sebagai hilang oleh RSF. Mexico pula berada di kedudukan kedua terbanyak bagi kes wartawan hilang.