SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan 22 kompaun terhadap beberapa premis perniagaan di Jalan Kasuarina 11, Bandar Botanik susulan operasi bersepadu penguatkuasaan lorong belakang yang dijalankan baru-baru ini.
MBDK memaklumkan operasi itu dilaksanakan selepas maklum balas Mesyuarat Jawatankuasa Pembersihan dan Pengindahan Bandar dengan penglibatan Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Perkhidmatan Persekitaran.
“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh restoran membina atau meletakkan sinki di atas longkang di lorong belakang.
“Daripada jumlah itu, empat premis memiliki lesen perniagaan dan iklan tahun 2025, manakala tiga lagi beroperasi menggunakan lesen sementara yang sudah tamat tempoh,” katanya menerusi Facebook.
Selain kompaun, empat notis niat batal turut dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 8(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (Majlis Perbandaran Klang) 2007 berhubung kegagalan mematuhi syarat pelesenan dan aspek kebersihan.
MBDK dalam kenyataan sama menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan kebersihan bandar terjaga dan mengelakkan penyalahgunaan lorong belakang oleh premis perniagaan.



