Kadar keciciran murid turun ke 0.30 peratus pada 2025, KPM perkenal modul intervensi berasaskan AI

9 Dis 2025, 6:07 AM
Kadar keciciran murid turun ke 0.30 peratus pada 2025, KPM perkenal modul intervensi berasaskan AI

SHAH ALAM, 9 DIS: Kadar keciciran murid di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan penurunan apabila Sistem Pengesanan Murid (SiPKPM) merekodkan kadar 0.30 peratus pada 2025 berbanding 0.33 peratus tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata penurunan itu membuktikan usaha berterusan kementerian memastikan murid kekal berada dalam sistem pendidikan sehingga tamat persekolahan, lapor Kosmo! Online.

“KPM merujuk kepada definisi keciciran sebagai murid warga Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan tetapi keluar sebelum tamat tempoh pendidikan. KPM komited memastikan setiap murid kekal dalam sistem,” katanya ketika menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris di Dewan Negara hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa SiPKPM akan dipertingkat mulai tahun depan melalui pembangunan Modul Intervensi Murid Cicir dan Murid Berisiko Cicir yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, modul baharu itu akan menganalisis data penting termasuk corak kehadiran, pencapaian akademik, rekod disiplin serta latar belakang sosioekonomi keluarga murid.

“Hasil analisis bersepadu ini, sistem akan mengesyorkan intervensi paling sesuai dan berfokus bagi membantu murid kekal dalam sistem pendidikan,” katanya.