Taman Perindustrian IOI 322 ekar di Banting pacu pelaburan RM1.5 bilion

9 Dis 2025, 5:33 AM
Taman Perindustrian IOI 322 ekar di Banting pacu pelaburan RM1.5 bilion
Taman Perindustrian IOI 322 ekar di Banting pacu pelaburan RM1.5 bilion
Taman Perindustrian IOI 322 ekar di Banting pacu pelaburan RM1.5 bilion

SHAH ALAM, 9 DIS: Selangor terus memperkukuh landskap perindustriannya dengan pelancaran Taman Perindustrian IOI seluas 322 ekar di Banting, sekali gus membuka peluang baharu untuk pembangunan ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata projek oleh IOI Properties Group Bhd (IOIPG) itu bukan sekadar pembangunan komersial, sebaliknya menunjukkan keyakinan kukuh sektor swasta terhadap hala tuju ekonomi negeri.

“Ini lebih daripada projek pembangunan, ia adalah isyarat bahawa industri swasta benar-benar yakin dengan masa depan Selangor,” katanya.

Beliau berkata taman perindustrian bernilai RM1.5 bilion itu mengukuhkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama, dengan RM101.1 bilion pelaburan diluluskan pada 2024, hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Dari Januari hingga September 2025, Selangor turut menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan projek pelaburan tempatan dan asing di Malaysia, menjadikan negeri itu terus mendahului sebagai hab pelaburan negara.

Sze Hanberkata taman perindustrian baharu itu akan memfokuskan sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik, bioteknologi dan logistik, selaras sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Kami mahu membina platform industri masa depan, dengan tumpuan pada sektor yang akan membentuk era baharu,” tambahnya lagi.

Menurutnya, projek ini juga dijangka merangsang pembangunan tenaga kerja mahir di Kuala Langat, seterusnya meningkatkan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi setempat.

Beliau turut menegaskan kelebihan lokasi strategik taman perindustrian itu, yang terletak 15km dari KLIA dan 45km dari Pelabuhan Klang melalui Lebuhraya Pantai Barat, menjadikannya pusat logistik dan perindustrian yang kompetitif.