Pembantu kedai makan rugi lebih RM77,000 diperdaya Chen

9 Dis 2025, 1:08 AM
Pembantu kedai makan rugi lebih RM77,000 diperdaya Chen

KUALA TERENGGANU, 9 DIS: Hasrat pembantu kedai makan untuk meraih pendapatan sampingan bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM77,889 selepas diperdaya individu yang memperkenalkan diri sebagai Chen melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 34 tahun membuat laporan di balai polis semalam selepas menyedari tidak menerima sebarang pulangan keuntungan yang dijanjikan.

Menurutnya, pada 4 Oktober lalu mangsa ditawarkan kerja sambilan menjadi rakan niaga penjualan pakaian serta aksesori wanita menerusi Instagram, dengan pulangan keuntungan kononnya mencecah 10 peratus.

“Mangsa diminta memuat naik aplikasi dan berperanan sebagai penjual. Dia kemudian menerima pesanan pelanggan melalui aplikasi tersebut sebelum diarahkan membuat bayaran yuran proses bagi melengkapkan urusan jual beli.

“Pengendali aplikasi mendakwa wang itu akan dipulangkan bersama keuntungan, namun mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan,” katanya, lapor Harian Metro.

Mangsa yang percaya dengan tawaran itu membuat beberapa transaksi dari 16 Oktober hingga 26 November ke enam akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM77,889, menggunakan simpanan sendiri dan wang pinjaman daripada kenalan serta saudara-mara.

Namun selepas pembayaran dibuat, mangsa tetap tidak memperoleh pulangan seperti dijanjikan.

Azli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya menasihatkan orang ramai lebih berwaspada terhadap tawaran pekerjaan dalam talian yang menetapkan bayaran awal.